Ahad, 20 Oktober 2019 | 6:06pm
Reka bentuk kenderaan aktif sukan serlah jentera alaf baharu.

BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport

KUALA LUMPUR: BMW Malaysia memperkenalkan BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport dengan menyerlahkan bahasa reka bentuk dan dinamik pemanduan cemerlang jentera SAV (kenderaan aktif sukan) bersaiz sederhana.

BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport memperlihatkan kombinasi yang sempurna dicapai antara ciri ketangkasan dan keagresifan dibawa daripada BMW X4, bersama aspek kegunaan ruang dan praktikaliti sebuah jentera BMW X3.

Jentera alaf baharu ini dikuasakan oleh enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 252 kuasa kuda (hp) pada 5,200 – 6,500 rpm, serta tork puncak 350 Nm pada 1,450 – 4,800 rpm.

BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport mampu memecut dalam masa 6.3 saat dan mencatat kelajuan tertinggi mencecah 240 kilometer sejam (km/j).

Komponen transmisi pula hadir dalam bentuk Steptronic Sport Automatic 8 kelajuan.

Emisi karbon dihadkan pada paras 174 g/km dan penggunaan bahan api pada paras 7.6 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km.

Memasuki ruang kabin, BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport mempamerkan stereng berkulit M Sport dan kemasan ambang pintu rekaan ‘M’.

Lebih gaya

Kemasan trim dalaman menampilkan potongan aluminium halus, dan kemasan trim sorotan yang hadir dalam warna krom mutiara (Pearl Chrome), menzahirkan bahasa reka bentuk interior yang serba ‘sporty’.

BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport menawarkan sebuah pengalaman hiburan bertaraf premium menerusi paparan Navigation System Professional bersaiz 10.25 inci bersama fungsi sentuhan, iDrive Touch dan sistem HiFi dengan 12 pembesar suara.

Penawaran warna bagi BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport merangkumi Alpine White, Carbon Black, Glacier Silver dan Phytonic Blue, manakala upholsteri berasaskan kulit ‘Vernasca’ ditawarkan dalam warna hitam dengan sulaman kontras biru.

BMW X3 xDrive30i ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW adalah RM313,800, manakala Pakej M Sport pula dengan tambahan RM15,000.

Berita Harian X