Selasa, 15 Oktober 2019 | 9:30am
Gambar fail, Naib presiden Harley-Davidson, Marc McAllister bercakap mengenai motosikal elektrik Harley-Davidson LiveWire dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk Panasonic Corporation Amerika Utara, Tom Gebhardt, , semasa persidangan berita Panasonic di Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2019 di Las Vegas , Nevada, Amerika Syarikat, Januari lalu. - Foto REUTERS

Harley-Davidson hentikan pengeluaran motosikal elektrik

CHICAGO: Harley-Davidson Inc berkata ia menghentikan pengeluaran dan penghantaran motosikal elektrik pertamanya selepas menemui kepincangan dalam pemeriksaan kualiti akhir.

Pembuat motosikal itu berkata, ia telah menemui "keadaan bukan standard" pada LiveWire, yang mana ia mula dihantar kepada pengedar lewat bulan lalu, menyebabkan ujian tambahan dan analisis terpaksa dilakukan.

Walaupun syarikat itu berkata ujiannya sedang berjalan dengan baik, ia tidak menawarkan garis masa bila pengeluaran akan diteruskan.

Saham Harley susut susulan berita itu dan dagangan sahamnya susut satu peratus untuk ditutup pada AS$34.73.

Syarikat itu mensasar pengenalan motosikal elektrik bagi menarik generasi muda dan penunggang yang lebih peka alam sekitar bagi mengembalikan jualan Amerika Syarikat (AS) yang merosot.

LiveWire yang berharga AS$29,799 tersedia bagi pratempahan di AS sejak Januari.

Sebahagian besar pesanan untuk motosikal itu datang daripada pelanggan sedia ada dan lama, pengedar memaklumkan Reuters. - Reuters

Berita Harian X