Isnin, 7 Oktober 2019 | 5:22pm

Volvo, Geely gabung aset pengeluaran enjin

FRANKFURT: Volvo Cars akan menggabungkan aset pembangunan dan pengeluaran enjinnya dengan syarikat induk, Geely, sekali gus mewujudkan sebuah unit untuk membekalkannya kepada jenama Lotus, LEVC, Lynk dan PROTON.

Langkah itu berpotensi menyaingi syarikat lain dengan enjin pembakaran dan hibrid generasi akan datang.

Ia turut menunjukkan satu lagi contoh penggabungan dalam sektor pengeluaran enjin, memandangkan peraturan pelepasan yang lebih ketat meningkatkan lagi kos pembangunan pada ketika langkah memperluaskan pengeluaran kereta elektrik mencetuskan persoalan mengenai permintaan jangka panjang bahan api.

Syarikat pesaingnya, Volkswagen, yang sedang meningkatkan pengeluaran kereta elektrik, sudah memberi amaran kepada pembekalnya supaya membentuk struktur bagi menggabungkan aset enjin.

Volvo ketika ini sedang membina 600,000 enjin pembakaran, jumlah yang akan meningkat kepada kira-kira dua juta apabila digabungkan dengan aset Geely, sekali gus membolehkan penjimatan ke atas kos pembangunan serta komponen, kata Ketua Pegawai Eksekutif Volvo, Hakan Samuelsson kepada Reuters.

Ini akan membolehkan jenama berpangkalan di Gothenburg, Sweden itu memberi tumpuan lebih tinggi terhadap sumbernya untuk membina dan membangunkan kereta elektrik premium.

“Sebagai sebuah perniagaan, enjin pembakaran berkemungkinan tidak berkembang. Adalah penting untuk bergabung dan membentuk sinergi. Ini satu lagi langkah transformasi syarikat ke arah elektrik,” kata Samuelsson dalam satu temubual.

Dalam jangka pertengahan, Volvo akan menggugurkan enjin diesel bagi menumpukan kepada powertrain hibrid dan elektrik.

Ia memerlukan pelaburan lebih tinggi dari segi suntikan bahan api, pengecas turbo dan teknologi pemulihan brek.

Penggabungan operasinya dengan Geely akan membantu mencapai penjimatan kos, kata Samuelsson.

“Di peringkat komponen, saya melihat penjimatan kos yang besar. Apa yang lebih penting adalah di pihak pembangunan. Jurutera akan mendapatkan sumber bagi mengambil langkah berikutnya membangunkan enjin hibrid berkualiti tinggi,” katanya.

-Reuters

Berita Harian X