Jumaat, 4 Oktober 2019 | 5:37pm

PROTON tawar pakej pembiayaan khas graduan, kakitangan kerajaan

SUBANG JAYA: PROTON dan Bank Rakyat menawarkan pakej pembiayaan istimewa untuk graduan baharu dan kakitangan kerajaan bagi kereta-kereta terpilih.

Pakej istimewa yang sah hingga 31 Disember 2019 itu menyediakan pembiayaan sehingga 100 peratus bagi setiap pembelian.

Pakej terdiri daripada dua jenis kadar pembiayaan istimewa, An-Naqlu 1 yang menawarkan pembiayaan 90 peratus bermula pada kadar menarik sebanyak 2.88 peratus setahun dan An-Naqlu 2 menawarkan pembiayaan 100 peratus bermula pada kadar sebanyak 3.30 peratus setahun.

Tawaran terhad kepada rakyat Malaysia iaitu graduan baharu berusia antara 20 hingga 30 tahun serta kakitangan kerajaan berusia antara 18 hingga 60 tahun untuk pembelian Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga.

Pengarah Jualan Korporat PROTON, Fazli Hisham Shukor, berkata tawaran ini adalah salah satu daripada pelbagai kerjasama khas, yang dilaksanakan PROTON untuk memudahkan pemilikan semua pelanggannya.

“Di bawah skim istimewa ini, Bank Rakyat menawarkan kelulusan pembiayaan mudah kepada pelanggan, sementara PROTON menjadikan tawaran ini lebih menarik melalui pakej servis percuma sehingga dua tahun bergantung kepada

model yang mereka pilih.

“Model Saga didatangkan dengan pakej servis percuma selama setahun, manakala Persona dan Iriz pula selama dua tahun; termasuklah kos pekerja dan alat ganti secara percuma,” katanya.

Di samping itu, pelanggan turut berpeluang menikmati kelebihan tambahan daripada pakej insurans yang dipertingkat.

Mendapat kerjasama Etiqa Takaful dan Zurich Takaful, Program Insurans PROTON menyediakan perlindungan khas iaitu perlindungan utama, elaun banjir serta perlindungan untuk semua pemandu, termasuk jaminan sifar lebihan caj untuk kereta PROTON sehingga 10 tahun.

Pelanggan yang berminat dengan pakej pembiayaan istimewa ini boleh mendapatkannya di semua cawangan PROTON seluruh negara.

Berita Harian X