Jumaat, 4 Oktober 2019 | 3:23pm
HONDA City adalah antara model yang dipanggil semula untuk penukaran pengepam beg udara Takata.

Honda Malaysia panggil semula 23,476 kenderaan

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia memanggil semula 23,476 unit kenderaan yang sebelum ini dipanggil untuk menukar pengepam beg udara Takata bahagian hadapan.

Pengeluar jenama terkemuka Jepun dalam kenyataan berkata antara model yang terbabit dengan panggilan bagi penukaran pengepam beg udara Takata pemandu hadapan ialah Civic yang dikeluarkan pada 2006 hingga 2007 dan 2009 hingga 2011; CR-V (2007 - 2008 & 2010 - 2011); Stream (2010 & 2012); Insight (2011 - 2012); City (2009 - 2013); dan Jazz (2012 - 2013).

“Bagi pertukaran pengepam beg udara Takata untuk bahagian penumpang hadapan pula, model yang terbabit ialah Accord (2003 & 2005 - 2006, 2008 - 2009 & 2011 - 2012); Stream (2003 - 2005); CR-V (2002 - 2009); Jazz (2003 - 2007, 2009 & 2012); City (2003 - 2009); dan Civic (2003 - 2011),” katanya.

Honda Malaysia berkata, kos bagi menukar pengepam beg udara Takata itu adalah percuma dan ditanggung oleh syarikat berkenaan.

“Kami memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi. Keselamatan pelanggan kami sentiasa menjadi keutamaan Honda Malaysia,” katanya.

Honda Malaysia menegaskan model semasa yang dijual kepada pelanggan domestik tidak terjejas dan syarikat akan terus mengawal ketat dan telus bagi memastikan keselamatan pelanggannya.

“Pelanggan yang terjejas akan menerima surat makluman daripada Honda Malaysia membabitkan butiran panggilan semula dan kesediaan stok.

“Kami menasihatkan pelanggan yang menerima surat makluman itu menghantar kenderaan mereka di mana-mana 95 cawangan pusat servis Honda berdaftar untuk pemeriksaan dan penukaran.

“Stok bagi penggantian pengepam beg udara Takata bahagian hadapan boleh didapati secara berperingkat dan kami akan memastikan kesediaan sepenuhnya stok berkenaan dalam jangka masa singkat,” katanya.

Berita Harian X