Jumaat, 27 September 2019 | 11:18am
FILE PHOTO: The Toyota logo is shown at the Los Angeles Auto Show in Los Angeles, California, U.S., November 30, 2017. REUTERS/Mike Blake/File Photo

Toyota cadang tingkatkan kepentingan dalam Subaru kepada lebih 20%

TOKYO: Toyota Motor Corp bercadang meningkatkan kepentingannya dalam Subaru Corp kepada lebih 20 peratus berbanding sekitar 17 peratus ketika ini, mengembangkan perkongsian mereka untuk melabur secara lebih berkesan dalam teknologi baharu, demikian menurut laporan Nikkei hari ini.

Langkah itu berkemungkinan menelan belanja lebih daripada 70 bilion yen (AS$650 juta) berdasarkan nilai permodalan saham Subaru, kata surat khabar perniagaan Jepun itu, tanpa menyebut sumber.

Subaru pula akan membelanjakan jumlah sama untuk membeli kepentingan kurang daripada satu peratus dalam Toyota, katanya.

Wakil Toyota berkata, laporan janji niaga itu belum lagi diumumkan syarikat.

Janji niaga itu berlangsung sebulan selepas Toyota dan satu lagi pengeluar kereta Jepun yang lebih kecil, Suzuki Motor Corp, berkata mereka akan mengambil kepentingan ekuiti kecil antara satu sama lain.

Janji niaga seperti itu mengetengahkan bagaimana pembuat kereta berebut untuk mengejar skala pengeluaran, menguruskan kos dan meningkatkan pembangunan.

Pembuat kereta tradisional, terutamanya yang lebih kecil seperti Subaru dan Suzuki, bertungkus lumus memenuhi perubahan pantas dalam industri yang ditransformasikan oleh kebangkitan kenderaan elektrik, ‘ride hailing’ dan pemanduan ‘autonomous’.

Toyota, pengeluar automotif utama Jepun, kelihatannya amat berminat untuk membina skala sekarang dengan melabur dalam pembuat kereta domestik yang lebih kecil, bukannya menjalin ikatan rentas sempadan seperti beberapa pesaingnya.

Saham Toyota susut 0.9 peratus manakala saham Subaru turun 1.5 peratus pagi ini. - Reuters

Berita Harian X