Selasa, 17 September 2019 | 12:49pm
Pengarah Jualan dan Pemasaran PROTON, Cheng Seng Fook melancarkan sesi pandu uji 1 Tank Adventure PROTON.

Momentum jualan PROTON terus meningkat

JOHOR BAHRU: PROTON meneruskan momentum jualan positif pada 2019 dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 36.5 peratus kepada 61,396 unit berbanding 45,062 unit yang dicatatkan pada 2018.

Peningkatan jualan memberangsangkan PROTON itu turut mengatasi jualan beberapa jenama kenderaan utama lain di Malaysia.

Pengarah Jualan dan Pemasaran PROTON, Cheng Seng Fook, berkata peningkatan jualan model kenderaannya itu pada Januari hingga Ogos lalu dipacu oleh peningkatan tahap keyakinan pelanggan dan pengenalan model baharu.

"Proton Saga masih menjadi penyumbang utama jualan kenderaan kami diikuti oleh X70 sekitar 23 peratus.

"Strategi berterusan syarikat dalam memperkenalkan model serta teknologi baharu serta peningkatan perkhidmatan selepas jualan memberikan keputusan yang memberangsangkan.

"Malah penghantaran model X70 kepada pembeli juga ketika ini meningkat kepada lebih 20,000 unit," katanya kepada media pada sesi pandu uji 1 Tank Adventure di sini.

Seng Fook berkata, versi terkini model Proton Saga yang dilancarkan bulan lalu juga menerima tempahan memberangsangkan sebanyak 12,000 unit.

Mengulas lanjut, beliau berkata model PROTON yang lain turut mencatatkan prestasi positif dengan jualan Persona meningkat sebanyak lebih 65 peratus berbanding jualan purata pada 2018.

Iriz pula, katanya mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak tiga kali ganda manakala Exora menjadi jualan model kenderaan pelbagai guna (MPV) terbaik bagi segmen C.

“PROTON juga merekodkan jualan paling banyak di lapan negeri berbanding jenama automotif antarabangsa." katanya.

Seng Fook berkata, syarikat juga mengukuhkan lagi jenamanya sebagai syarikat automotif mempunyai cawangan 3S/4S paling banyak di Malaysia, sekali gus meningkatkan persepsi jenama kereta nasional itu.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya mempunyai 102 pusat 3S/4S dan yakin mampu mencapai sasaran sebanyak 120 pusat hingga Disember 2019.

Berita Harian X