Rabu, 21 Ogos 2019 | 8:36pm
TRIUMPH Speed Twin 1200cc 2019. - Foto Rosdan Wahid
TRIUMPH Speed Twin 1200cc 2019. - Foto Rosdan Wahid

Speed Twin ikonik sepanjang zaman

KUALA LUMPUR: Jika diminta menghuraikan Triumph dalam tiga perkataan, tentunya ia adalah gabungan ketepatan, kesenian dan kejuruteraan.

Setelah berpeluang menunggang uji beberapa model keluaran jenama ikonik British ini, boleh disimpulkan Triumph sentiasa menampilkan motosikal yang mempunyai nilai untuk wang.

Prestasi motosikal Triumph tidak hanya setara, malah sesetengahnya mengatasi model premium keluaran jenama popular Eropah lain, tetapi dijual pada harga lebih mampu milik.

Baru-baru ini, BH Auto berkesempatan menunggang uji versi terbaru model moden klasik, Speed Twin 1200cc 2019 sumbangan pengedar rasminya di Malaysia iaitu Fast Bikes Sdn Bhd.

Dari segi penampilannya, Speed Twin ternyata ringkas tetapi amat menarik. Meskipun gaya retro dan masih mengekalkan DNA Triumph yang asal, ia padat dengan teknologi canggih dan prestasi yang mengujakan, justeru sesuai untuk generasi baharu.

Aras baharu tunggangan

Setelah seharian menunggang uji model ini, boleh dikatakan Speed Twin ini telah menetapkan aras baharu dalam tunggangan yang dinamik, dengan rekaan casis yang dipertingkatkan, kedudukan penunggang selesa, keupayaan brek yang maju, penyerap hentakan spesifikasi tinggi dan penyampaian kuasa mendebarkan.

Dari segi enjin dua silinder selari, sekilas pandang, peminat Triumph pastinya mengetahui bahawa ia berasaskan model Thruxton, namun begitu terdapat beberapa perubahan pada Speed Twin terbaru ini.

Meskipun profil pemetaan enjin 1,200 cc HP dengan lapan injap ini sama dengan siri Thruxton, namun penjanaan kuasanya dipertingkatkan dengan pergerakan crankshaft inertia-rendah dan kepala silinder mampatan tinggi dengan nisbah 11.0:1.

Ia membolehkan Speed Twin mencapai kemuncak 96 kuasa kuda (HP) pada rpm 6,750, manakala tork pula berada pada tahap 112 Nm pada 4,950 rpm. Bacaan ini adalah lebih tinggi berbanding Bonneville T120 (kuasa 80 hp).

SPEED Twin padat dengan teknologi canggih dan prestasi yang mengujakan. - Foto Rosdan Wahid
SPEED Twin padat dengan teknologi canggih dan prestasi yang mengujakan. - Foto Rosdan Wahid

Mudah dikawal, ringan

Dalam pada itu, memudahkan lagi kawalan secara bersahaja mengharungi kesesakan lalu lintas di bandaraya, Speed Twin adalah motosikal berkuasa tinggi yang ringan, iaitu 196 kilogram (kg).

Ia jauh lebih ringan berbanding Thruxton (206 kg) dan Bonneville T120 (224 kg), sekali gus selesa kepada penunggang bersaiz kecil.

Menurut Triumph, antara yang menyumbang kepada perkara itu adalah Speed Twin menggunakan lengan ayun ‘anodized’ aluminium yang lebih ringan.

Sama seperti beberapa model terdahulu, Speed Twin dilengkapi pendikit ‘Ride-by-Wire’ dengan tiga mod tunggangan yang boleh ditukar ketika dalam perjalanan iaitu Rain, Road dan Sport. Sistem berkenaan akan mengubahsuai tindak balas pendikit dan kawalan cengkaman, justeru menyediakan tunggangan lebih meyakinkan dan selamat.

Selain itu juga, klac Speed Twin ini juga terasa lebih lembut dan ringan.

Padat peralatan premium

Speed Twin ini diperlengkapkan dengan peralatan premium seperti cakera berkembar dan angkup brek empat piston Brembo di hadapan, fork teleskopik 41 milimeter (mm) serta rim aluminium dengan tayar Pirelli Rosso Corsa 3.

Umumnya, Triumph berjaya mengekalkan daya tarikan klasik dan sentuhan retro pada Speed Twin 2019 ini, namun terselindung di dalamnya adalah komponen dan sistem tunggangan premium serta terkini.

Jika anda peminat motosikal klasik moden, Speed Twin pasti membuat anda terasa amat ‘classy’. Reka bentuknya yang menarik akan mencerminkan personaliti penunggangnya yang ringkas tetapi bergaya. Dengan tanda harga RM73,900 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), ia kami kira berbaloi dimiliki.

Berita Harian X