Khamis, 25 Julai 2019 | 6:13pm
Geely Bin Yue difahamkan akan menjadi platform kepada pembangunan Proton X50.

Barisan model baharu rancakkan jualan PROTON

KUALA LUMPUR: Pengenalan model baharu termasuk Proton X70 pemasangan tempatan (CKD) dan model Saga dinaik taraf serta model baharu X50 pada pertengahan 2020 dijangka menyokong pertumbuhan tinggi jualan Proton Holdings Bhd (PROTON) sehingga tahun depan, kata penganalisis.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam nota penyelidikan berkata, sejak pelancaran model X70 pada Disember lalu, PROTON berupaya kembali mencatat keuntungan pada suku keempat berakhir 31 Mac 2019.

Katanya, berdasarkan kepada perangkaan HLIB, PROTON dianggarkan mencatatkan keuntungan menggalakkan iaitu RM100 juta pada suku berkenaan, bersandarkan pendapatan yang dilaporkan iaitu sebanyak RM1.3 bilion.

Pencapaian itu turut dibantu langkah pemotongan kos yang berterusan dan peningkatan kecekapan operasi yang dijangka naik sebanyak 15 peratus, sekali gus meningkatkan sumbangannya kepada pemegang saham terbesarnya DRB-Hicom Bhd.

“Kami menjangkakan sokongan berterusan daripada PROTON pada suku tahunan akan datang berdasarkan jualan tinggi pada suku pertama 2020 sebanyak 25,300 unit.

“Selain itu, PROTON juga merekodkan permintaan X70 yang kukuh selain pertumbuhan jualan didorong oleh model Iriz, Pesona dan Exora dinaik taraf,” katanya.

HLIB berkata, ketika ini pengurusan PROTON menyatakan bahawa mereka akan memberi keutamaan kepada pasaran tempatan sebelum meneroka pasaran eksport ke beberapa negara potensi.

Sementara itu, difahamkan pelancaran baharu model kenderaan ultiliti sukan (SUV) kedua PROTON, X50 pada pertengahan tahun hadapan akan merancakkan lagi jualannya.

Model yang dikatakan bakal dijana enjin 1.5L pengecas turbo itu dibangunkan berdasarkan spesifikasi Geely Bin Yue.

Ia dibina atas platform modular BMA, yang dibangunkan bersama subsidiari Volvo dengan menawarkan lebih fleksibiliti untuk disesuaikan dengan pelbagai variasi enjin.

Pengenalan model ini juga dikatakan bakal menjadi pesaing kepada model SUV lain seperti Honda HR-V, Mazda CX-3, Subaru XV, Peugeot 2008 dan Toyota C-HR.

Sebahagian besar penganalisis berpendapat, kemasukan Zhejiang Geely Holdings Group sebagai pemegang saham 49.9 peratus pada 2017 adalah langkah yang tepat dalam usaha memulihkan semula prestasi pengeluar kereta nasional itu.

Pelbagai inisiatif pemulihan dilaksanakan Geely yang kini membuahkan hasil dengan penguasaan pasaran Proton semakin meningkat susulan pelancaran model baharu, X70.

PROTON mencatatkan jualan tertinggi baharu sebanyak 10,611 unit pada Mei 2019, yang mana kali terakhir ia mencatatkan jualan lebih 10,000 unit adalah pada Julai 2015.

Pada Jun, pengeluar kereta nasional itu mencatatkan jualan sebanyak 7,615 unit, yang mana ia adalah angka kedua tertinggi dicatatkannya bagi 2019, sekali gus menguasai 18.1 peratus daripada pasaran automotif Malaysia dalam tempoh sebulan, apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan merosot sebanyak 30.8 peratus iaitu 42,090 unit.

Umumnya ketika ini, Proton X70 terus menjadi antara produk PROTON paling popular.

Bagi separuh pertama tahun ini, sebanyak 15,175 unit sudah diserahkan kepada pelanggan, menjadikannya pendahulu jualan kumulatif untuk keseluruhan segmen kenderaan utiliti sukan (SUV), di samping turut mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris.

Berita Harian X