Jumaat, 19 Julai 2019 | 3:04pm
Sektor automotif Malaysia dijangka akan lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini. - Foto hiasan

Sektor automotif lebih kukuh separuh kedua 2019

KUALA LUMPUR: Sektor automotif Malaysia dijangka akan lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini, demikian menurut penganalisis.

Maybank IB Research dalam notanya semalam berkata persekitaran kekal kondusif dengan unjuran jumlah yang lebih kukuh secara bermusim pada suku kedua.

“Kami menjangkakan purata jualan bulanan sebanyak 52,300 unit pada separuh kedua 2019 bagi memenuhi sasaran 2019 kami sebanyak 610,000 unit, berdasarkan purata 49,400 sebulan pada separuh pertama 2019.

“Kekuatan bermusim pada separuh kedua, selain sumbangan setengah tahun penuh daripada pelancaran utama mulai separuh pertama 2019, dijangkakan menyumbang kepada separuh kedua 2019 yang lebih kukuh,” katanya.

Bagi margin, perbelanjaan pengiklanan dan promosi yang lebih tinggi pada separuh kedua 2019 boleh diimbangi oleh pengukuhan ringgit sejak kebelakangan ini.

Pada separuh pertama 2019, Proton menyaksikan kenaikan jumlah tertinggi, sebanyak 16,400 unit tahun ke tahun dengan memperoleh 5.3 mata peratusan (ppts), manakala Honda merekodkan penurunan jumlah terbesar sebanyak 7,100 unit tahun ke tahun, susut 2.8 ppts dalam penguasaan pasaran dalam tempoh yang sama.

Dari segi pengeluaran, Honda mengurangkannya dengan ketara, merosot kepada hanya 3,900 unit pada Jun 2019 atau penurunan sebanyak 54 peratus bulan ke bulan, yang menandakan penguncupan dalam jualan pada bulan-bulan akan datang disebabkan saingan sengit dari Proton serta Toyota.

Sementara itu, Affin Hwang Capital dalam nota penyelidikannya berkata jumlah jualan industri (TIV) akan menyederhana pada suku ketiga 2019, memandangkan pengguna dilihat memanfaatkan tawaran menarik Hari Raya pada bulan lalu.

Secara positif, ia berkata wujud sokongan padu ke atas pembuat kereta nasional, dengan Proton menjadi pilihan utama, manakala kereta jenama asing dijangkakan mengalami kesukaran pada Jun.

“TIV enam bulan sebanyak 296,300, naik dua peratus tahun ke tahun, adalah dalam jangkaan dan 49 peratus daripada unjuran 2019,” katanya.

Kenanga Investment Bank bersetuju dengan sentimen Affin Hwang bahawa sektor itu akan kekal sederhana disebabkan oleh jualan pra-perayaan pada Mei.

“Hanya Proton yang mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun, disokong oleh X70 yang popular serta Proton Iriz, Persona dan Exora yang berwajah baharu,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X