Rabu, 17 Julai 2019 | 3:57pm

NAZA mula eksport ke rantau Asia

KUALA LUMPUR: Syarikat automotif, Naza Automotive Manufacturing (NAM) akan mula mengeksport penghantaran pertamanya bagi rantau ASEAN di bawah perjanjian kerjasama baharu antara Groupe PSA dan Naza Corporation Holdings.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Kumpulan itu berkata penghantaran pertama kereta model PEUGEOT 3008 1.6L Active yang dikeluarkan di kilang NAM di Gurun telah berlepas.

Ketua ASEAN yang juga Ketua Eksekutif NAM, Groupe PSA, Laurence Noel berkata kereta yang mendapat pengiktirafan “European Car of the Year 2017” itu dijangka sampai di Filipina menjelang akhir bulan ini.

“Selain model PEUGEOT 3008, model PEUGEOT 5008 1.6 THP juga dieksport ke Filipina dan gabungan kedua-dua model itu dijangka berada di negara berkenaan dengan lebih 4,000 unit menjelang 2023.

“Filipina adalah negara ASEAN pertama yang menerima masuk kereta yang dikilangkan di NAM dan dieksport di bawah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

“Lebih banyak kereta akan dieksport ke negara ASEAN lain tidak lama lagi,” katanya di sini, hari ini.

Pada Februari 2018, Naza Corporation Holdings dan Groupe PSA memeterai jualan saham dan perjanjian kerjsama untuk menubuhkan perkongsian operasi secara rasmi di NAM, di Gurun, Kedah sebagai hab pengeluaran pertama di ASEAN bagi Groupe PSA.

Ia menandakan permulaan operasi NAM mengembangkan jenama di bawah Groupe PSA seperti Peugeot, Citroen, DS dan Opel kepada rantau ASEAN. Langkah itu secara langsung menyumbang kepada ekonomi negara ini.

Berita Harian X