Selasa, 2 Julai 2019 | 6:29pm
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong. - Foto Zunnur Al Shafiq

Momentum jualan PROTON terus meningkat

SUBANG JAYA: PROTON meneruskan momentum kenaikan jualan pada 2019 dengan mencatatkan jumlah penguasaan pasaran yang tertinggi sejak Julai 2015.

Jualan sebanyak 7,615 unit pada Jun adalah angka kedua tertinggi yang dicatatkan oleh

syarikat itu pada tahun ini, sekali gus menguasai 18.1 peratus daripada pasaran automotif Malaysia dalam tempoh sebulan, apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan merosot sebanyak 30.8 peratus iaitu 42,090 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata dengan mencapai penguasaan pasaran sebanyak 18.1 peratus pada Jun, PROTON terus menunjukkan pertumbuhan jualan yang positif bagi tahun ini meskipun keadaan pasaran yang sukar untuk jualan berikutan cuti Hari Raya.

“Pegangan pasaran setakat tahun ini berada pada 14.7 peratus dan peningkatan yang besar pada berbanding 2018 iaitu 10.8 peratus.

“Bagi separuh kedua tahun ini, kami akan menumpukan kepada peningkatan jualan dan memberikan lebih keterujaan kepada pasaran dengan memperkenalkan model-model

baharu dan yang ditambahbaik seperti dijanjikan pada awal tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seperti kebiasaannya dalam penjualan automotif di Malaysia, akan terdapat penurunan pada jumlah penjualan bagi bulan selepas perayaan.

Bulan Jun tidak terkecuali kerana adanya cuti sempena Hari Raya Aidilfitri diikuti

dengan keadaan jualan tidak memberangsangkan.

Selain itu, Jun 2018 juga adalah bulan pertama bagi tempoh jualan tanpa Cukai Barang dan Jualan (GST), menjadikannya sukar bagi kebanyakan jenama automotif untuk mencatat jumlah pertumbuhan jualan tahun ke tahun yang positif.

Bagaimanapun, PROTON mencatatkan trend apabila jualan meningkat sebanyak 23 peratus berbanding Jun tahun lalu, yang telah membantu syarikat mendapat kedudukan kedua dalam jadual jualan untuk bulan ketiga berturut-turut.

Jumlah ini telah menyumbangkan kepada pertumbuhan jualan keseluruhan sebanyak 61 peratus untuk enam bulan pertama 2019, meletakkan PROTON di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualannya untuk tahun ini.

Secara individu, Proton X70 terus menjadi salah satu produk PROTON paling popular.

Bagi separuh pertama tahun ini, sebanyak 15,175 unit telah diserahkan kepada pelanggan, menjadikannya pendahulu jualan kumulatif untuk keseluruhan segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) di samping turut mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris.

Berita Harian X