Jumaat, 28 Jun 2019 | 7:02pm
ZAHARI Husin (kanan) ketika pelancaran model Axia di Seychelles.

Perodua masuki pasaran Seychelles dengan Axia

VICTORIA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melebarkan pasarannya ke negara kepulauan Seychelles menerusi model Axia yang dilancarkan di sini, malam semalam.

Ia ditawarkan dalam varian E MT, G AT, SE dan AV, dengan harga promosi masing-masing 235,000 Rupee Seychellois (RM71,500), 265,000 Rupee Seychellois (RM80,600), 275,000 Rupee Seychellois (RM83,700) dan 290,000 Rupee Seychellois (RM88,300).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Perodua berkata semua varian dikuasakan oleh enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan ‘intelligent variable valve timing’ yang disambungkan kepada transmisi manual lima-kelajuan bagi varian E MT dan transmisi automatik empat-kelajuan bagi varian yang lain.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata pihaknya sangat teruja untuk mengeksport kenderaan Perodua ke Seychelles kerana ia memberi peluang kepadanya untuk memperkenalkan jenama berkenaan kepada masyarakat berbilang bangsa yang berkunjung ke negara ini untuk bercuti.

“Kami percaya bahawa ini akan memanfaatkan pasaran eksport masa hadapan kami,” katanya.

“Perodua melantik SF Hybrid Motors Pty Ltd sebagai pengedar rasminya di Seychelles bagi mengendalikan jualan dan lepas jualan di sana.

“Baru-baru ini, Perodua dan SF Hybrid Motors telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memasarkan model Perodua di Seychelles kepada pembeli individu dan rangkaian,” katanya.

Selain Seychelles, Perodua juga mengeksport ke Mauritius di benua Afrika yang mana lebih 3,000 unit kenderaannya dijual sejak 1996.

Mengulas lanjut, Dr Zahari berkata pihaknya mengakui bahawa prestasi eksport Perodua masih tidak signifikan pada masa ini, namun syarikat itu gigih berusaha untuk mengembangkan perniagaannya.

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan teknikal dan teknologi kami, Daihatsu Motor Company of Japan dengan memanfaatkan pengalaman dan rangkaian mereka untuk merancangkan eksport yang lebih mampan dan menguntungkan,” katanya.

Beliau menambah bahawa Seychelles adalah destinasi popular bagi pelancong Eropah dan Afrika dan ini akan membuka lebih banyak peluang eksport melalui pendedahan jenama Perodua.

Sementara itu, Pengarah SF Hybrid Motors, Christophe Larue berkata beliau amat berbesar hati untuk membawa Perodua ke Seychelles.

“Kami percaya kepada Perodua dan oleh itu kami menawarkan waranti tiga tahun sehingga 100,000 kilometer.

“Perodua Axia amat sesuai untuk pasaran Seychelles – ia menawarkan gaya, keselamatan, ciri-ciri pintar serta kos pemilikan, servis dan alat ganti yang rendah,” katanya.

Seychelles adalah sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada 115 pulau di Lautan Hindi, sebelah timur daratan Afrika.

Berita Harian X