Khamis, 13 Jun 2019 | 2:37pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Dr. Claus Weidner (kanan) bersama Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpang MBM, Mark Raine bergambar bersama sempena majlis pelancaran Mercedes-Benz S560e serta pra tonton model terbaru C300e dan EQC 400 di Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

MBM perkenal Mercedes-Benz S560e, C300e, EQC

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkemaskan penawaran model mobiliti elektrik dengan memperkenalkan Mercedes-Benz S 560 e, C 300 e dan EQC 400 4MATIC ke pasaran Malaysia.

Bagi model pemasangan tempatan (CKD), S 560 e, ia ditawarkan pada harga anggaran RM658,888, manakala harga dua model import sepenuhnya (CBU), C 300 e dan EQC 400 4MATIC belum diumumkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Dr Claus Weidner, berkata pengenalan tiga model berkenaan bakal meningkatkan pengalaman jenama baharu EQ yang merangkumi aspek utama iaitu mobiliti elektrik berasaskan pelanggan.

“Ia akan menjadi pemangkin dan peneraju pasaran premium. Kami komited untuk menjadi perintis dalam pelaburan jangka panjang di negara ini dengan membentuk landskap mobiliti masa depan.

“Kami bersedia meneroka lebih banyak potensi dalam mobiliti elektrik di Malaysia dengan menawarkan lebih banyak fleksibiliti,” katanya ketika memperkenalkan tiga model baharu Mercedes-Benz di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine.

Mercedes-Benz S 560 e iaitu model hibrid plug-in generasi baharu, didatangkan dengan enjin V6 dengan kapasiti 2,996 cc yang mampu menghambur 476 kuasa kuda (hp) pada 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork puncak 700Nm.


MERCEDES-BENZ Malaysia (MBM) memperkenalkan tiga model baharu S 560 e, C 300 e dan EQC 400 4MATIC ke pasaran Malaysia.

Dengan jentera berkuasa tinggi S 560 e mampu memecut pada kedudukan pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa lima saat dan kelajuan maksimum 250 km/j.

Model serba mewah ini mampu meneruskan perjalanan sehingga 50 kilometer (km) menerusi rangkaian kuasa elektriknya dengan bateri berkapasiti 13.5 kWh.

Bagi model C 300 e pula, model dengan enjin petrol 2-liter 4-silinder sebaris mampu menjana 320 hp pada 4,500 hingga 5,500rpm apabila digabungkan dengan kuasa elektriknya, manakala tork maksimum 700Nm.

Model CBU yang mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat dan kelajuan tertinggi 250 km/j itu menggunakan sistem transmisi 9G-TRONIC bagi menjana penggunaan tenaga yang ekonomi.

Bagi EQC 400 4MATIC, Raine berkata, model pemangkin mobiliti elektrik itu adalah perintis kereta masa depan industri automotif.

“Model berprestasi dinamik ini menggunakan dua motor eletrik yang terletak di depan dan belakang dengan kombinasi kuasa 300 kWh.

“Dengan 408 hp pada 5,500 hingga 6,000rpm dan tork puncak 760Nm, model ini mampu memecut pada kelajuan maksimum 180 km/j dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat.

“Paling menakjubkan adalah kuasa elektriknya mampu meneruskan perjalanan sehingga 450 km,” katanya.

Berita Harian X