Khamis, 30 Mei 2019 | 6:05pm
Rekaan segar, sporty dan menonjolkan karakter generasi baharu.
Rekaan segar, sporty dan menonjolkan karakter generasi baharu.

Toyota Yaris kembali ke Malaysia

Toyota Yaris mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2006 bagi memenuhi keperluan peminat model hatchback keluaran pengeluar kereta popular dari Jepun itu.

Namun, model yang ditawarkan ketika itu adalah diimport sepenuhnya (CBU) dan sudah pasti harganya juga tidak mesra poket, iaitu bermula dari RM93,000 hinggalah RM99,000, sekali gus dianggap agak mahal bagi rakyat Malaysia untuk sebuah hatchback segmen-B.

Model Yaris yang muncul pada 2014 juga begitu, malah lebih mahal kerana varian tunggal 1.5G Automatik ketika itu dijual pada harga RM102,000. yang mungkin adalah faktor kenapa Yaris untuk kedua-dua generasi terbabit sukar ditemui di atas jalan raya.

Apapun, Toyota Yaris kini kembali semula dengan membawakan imej dan hala tuju terkini pengeluar kereta dari Jepun itu.

Berbanding versi sebelum ini yang adalah unit CBU sepenuhnya, Yaris kali ini adalah versi pemasangan tempatan (CKD), dipasang di kilang baharu Toyota di Bukit Raja, Klang, yang turut memasang model Toyota Vios.

Malah, Yaris juga sebenarnya adalah hatchback yang dihasilkan dari Vios yang menjadi kembar sedannya. Perbezaan ketara antara Yaris dan Vios adalah pada tiang-C, di mana Yaris diberikan kemasan berwarna hitam pada keseluruhan bahagian terbabit membuatkan bumbungnya seakan terapung.

Yaris baharu menawarkan tiga varian, dimulakan dengan versi asas dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM70,888, versi pertengahan Yaris E dijual dengan harga RM76,888, manakala versi tertinggi Yaris G pula berharga RM83,888, atau sekitar RM18,000 lebih murah dari model 2014.

Yaris kali ini adalah versi pemasangan tempatan.
Yaris kali ini adalah versi pemasangan tempatan.

Banyak elemen hitam

Baru-baru ini pihak media berpeluang menguji hatchback segmen-B itu menerusi satu sesi pemanduan media dari Ibu Pejabat UMW Toyota Sdn Bhd di Shah Alam ke Janda Baik, Pahang.

Model yang kami pandu uji adalah dari varian tertinggi 1.5 G, yang didatangkan dengan lampu hadapan projektor, lampu belakang LED, rim aloi dua-tona berdiameter 16-inci serta dibaluti tayar 195/50R16.

Rim aloi dua-tona berdiameter 16-inci serta dibaluti tayar 195/50R16.
Rim aloi dua-tona berdiameter 16-inci serta dibaluti tayar 195/50R16.

Yaris terbabit juga diberikan kit badan opsyen berharga RM2,800 yang terdiri dari spoiler dagu pada bampar hadapan, skirt sisi, spoiler bumbung pada pintu tailgate belakang serta lips tambahan pada bampar belakang.

Bahagian dalaman boleh dikatakan disalin sepenuhnya dari Vios, tetapi terasa lebih sporty menerusi lebih banyak elemen hitam pada model itu berbanding kembar sedannya itu. Ia termasuk panel-panel kemasan tiang dan juga pelapik bumbung berwarna hitam, berlainan dengan Vios yang menerima warna lebih cerah pada bahagian-bahagian terbabit.

Fungsi penuhi citarasa.
Fungsi penuhi citarasa.

Dari sezi saiz, Yaris kelihatan besar, malah badannya juga adalah lebih lebar (1,730 mm) berbanding Honda Jazz (1,694 mm). Namun, berada di dalamnya terasa agak sempit berbanding Jazz.

Ruang kargo belakang juga menyaksikan Jazz lebih besar dengan 363 liter, berbanding 286 liter pada Yaris, tetapi ia lebih besar dari Perodua Myvi yang hanya berkapasti 277 liter.

Ruang kargo belakang 286 liter.
Ruang kargo belakang 286 liter.

Seperti juga Vios, Yaris dijana enjin 2NR-FE yang digandingkan bersama kotak gear CVT automatik yang mampu menjana 105 hp (107 PS) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm.

Yaris dijana enjin 2NR-FE yang digandingkan bersama kotak gear CVT automatik.
Yaris dijana enjin 2NR-FE yang digandingkan bersama kotak gear CVT automatik.

Kembali ke pemanduan, bermula dari Shah Alam, kami memasuki Lebuhraya Guthrie yang kurang trafik, sebelum menghala ke Selayang/Gombak, saya dapat rasakan bahawa pecutan Yaris ini boleh tahan juga, namun jika dibandingkan dengan Jazz ia agak lembap kerana enjin 1.5 liter i-VTEC Honda berkenaan mampu menghasilkan 118 hp dan tork maksima 145 Nm.

Pemanduan kami dari Selayang/Gombak menuju ke Janda Baik tidak menggunakan Lebuhraya Karak, sebaliknya menggunakan laluan jalan lama ke Genting Sempah yang dipenuhi deretan selekoh dan jalan beralun, sekaligus memberi peluang untuk menguji kehebatan dan kestabilan Yaris menyelusuri laluan sedemikian.

Bagi saya, Yaris mampu mengharungi ujian itu dengan baik, malah tidak keterlaluan dikatakan ia agak mantap dengan olengan badan hampir tiada, di samping stereng juga memberikan respon yang baik.

Media bergambar kenangan sebelum pelepasan sesi pandu uji ke Janda Baik.
Media bergambar kenangan sebelum pelepasan sesi pandu uji ke Janda Baik.

Konvoi dari Shah Alam ke Janda Baik, Pahang.
Konvoi dari Shah Alam ke Janda Baik, Pahang.

Kelengkapan keselamatan tinggi

Satu lagi kesukaan saya ialah terhadap Yaris ialah kadar kesenyapan yang begitu baik. Penggunaan cermin akustik, selain penambahan bahan penebat bunyi pada ruang enjin dan lantai serta busa dan span pada bahagian-bahagian tertentu ternyata membuahkan hasil.

Keseronokan memandu Yaris turut dibantu mod Sport dan juga mod manual pada transmisi yang memberikan tujuh-kelajuan maya.

Dengan menekan suis Sport, kotak gear CVT ini rasa lebih ‘terus’, dan membolehkan anda bermain dengan tukaran gear. Namun, anda perlu menukar gear pada tuil penukar gear itu kerana Yaris tidak dibekalkan dengan pedal penukar gear pada stereng atau lebih dikenali sebagai paddle shifters.

Selepas menikmati makan tengah hari di Twinkle Villa di Janda Baik, kami bertolak pulang semula ke Shah Alam, kali ini menggunakan Lebuhraya sebenar, untuk meneroka lebih mendalam karektor sebenar Yaris.

Yaris dibekalkan dengan kelengkapan keselamatan pada tahap tinggi dan kenderaan ini juga didapati kekal stabil ketika melayan selekoh menuruni bukit Lebuhraya Karak walaupun dengan kelajuan tinggi. .

Kesemua varian Yaris bermula dari versi asas J datang standard dengan tujuh-beg udara, cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak di belakang, sistem brek ABS dan EBD serta lengkap dengan sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Traction dan juga Bantuan Mula Mendaki (HAC).

Kesimpulannya, Yaris cukup praktikal dengan tempat duduk selesa dan luas. Ruang simpanan barang juga agak banyak. Cuma mungkin ketiadaan paddle-shifters dan tempat duduk balutan kulit walaupun dalam varian tertinggi agak mengecewakan bagi sesetengah peminatnya.

Mungkin pemilihan tempat duduk jenis fabrik bagi menyesuaikan dengan jiwa dan imej Yaris itu sedikit yang agak berbeza dari Vios.

INFO:

Spesifikasi Toyota Yaris 1.5G

Enjin: DOHC Dual VVT-i

Kapasiti: 1,496 cc

Kuasa: 105 hp @ 6,000 rpm

Tork: 140 Nm @ 4,200 rpm

Transmisi: CVT

Harga: RM88,300 (Harga atas jalan tanpa insurans)

Berita Harian X