Isnin, 27 Mei 2019 | 3:00pm

PROTON dijangka capai sasaran jualan 100,000 unit

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (PROTON) berada pada landasan tepat dalam penyusunan semula syarikat itu dan dijangka kembali pulih serta mencapai sasaran jualan sebanyak 100,000 unit pada tahun ini.

Penyelidik Hong Leong Investment Bank (HLIB), Daniel Wong, berkata PROTON merekodkan peningkatan jualan pada April lalu sebanyak 7,000 unit, menjadikan jualan tahunannya setakat ini berjumlah 25,300 unit.

Beliau berkata, prestasi cemerlang itu disumbangkan oleh permintaan kukuh bagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, X70 serta model baharu Iriz dan Persona yang dilancarkan pada bulan lalu.

Katanya, dua model baharu itu menerima tempahan sehingga 8,000 unit disebabkan tawaran harga yang menarik serta kualiti produk dan ciri yang dipertingkatkan.

"Kami mendapati PROTON adalah salah satu syarikat automotif utama di negara ini yang mencatatkan pertumbuhan positif dari bulan ke bulan.

"Malah, PROTON juga berjaya kembali berada ke kedudukan kedua dengan 14 peratus penguasaan pasaran dan berada di belakang Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) pada April 2019.

"Perkara ini menjadikan pelan penyusunan semula PROTON pada landasan tepat dan akan kembali pulih pada tahun ini," katanya.

Selain itu, PROTON juga dijangka memperkenalkan model pemasangan tempatan (CKD) bagi X70, Saga dinaiktaraf dan model SUV Geely yang lebih kecil yang mungkin dikenali sebagai X50 pada separuh kedua 2019.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan, jumlah jualan industri (TIV) pada April tahun ini adalah sebanyak 50,000 unit, menjadikan jumlah TIV setakat tempoh berkenaan adalah 193,000 unit.

Berita Harian X