Jumaat, 3 Mei 2019 | 12:20pm
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong. - Foto Zunnur Al Shafiq
Pelancaran Proton Iriz dan Persona 2019 bantu lonjak jualan PROTON.

PROTON kembali jadi jenama kedua terlaris

SUBANG JAYA: PROTON meneruskan momentum cemerlangnya tahun ini, dengan angka jualan April kembali meletakkan syarikat itu di kedudukan kedua keseluruhan selepas kali terakhir pencapaian seumpamanya dilakar lebih tiga tahun lalu.

Sebanyak 7,011 unit dijual pada bulan lalu, kenaikan sebanyak 14.1 peratus berbanding Mac dan peningkatan 75 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

Kejayaan itu dicapai meskipun terdapat penurunan dalam jumlah jualan industri (TIV) sebanyak 6.2 peratus berbanding bulan terdahulu, sekali gus menjadikan PROTON satu-satunya jenama automotif lima teratas yang mencatat pertumbuhan positif.

Prestasi jualan yang memberangsangkan oleh Proton Saga dan Proton X70 menjadi pemacu utama untuk pencapaian, namun peningkatan jualan juga adalah disebabkan pelancaran rasmi Proton Iriz dan Persona 2019 pada 23 April lalu.

Kedua-dua kereta itu dilancarkan serentak selepas aktiviti promosi pra-pelancaran diadakan selama dua bulan, termasuklah pra-tonton media dan pelanggan serta penampilan di siri-siri jelajah dan Pameran Auto Malaysia 2019 pada bulan lalu.

Hasil daripada usaha ini, lebih 4,000 tempahan dicatatkan sebelum pelancaran, membuktikan pembeli kereta di Malaysia tertarik dengan ciri-ciri pintar dan reka bentuk keseluruhan model terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong, berkata PROTON berbangga berada di kedudukan kedua dalam keseluruhan jualan pada April 2019, kembali ke posisi sebelum ini untuk kali pertama dalam masa tiga tahun.


GAMBAR fail, Menteri Pengangkutan , Anthony Loke Siew Fook (dua dari kanan) bersama CEO of PROTON, Dr Li Chunrong (dua dari kiri) ketikabergambar bersama Proton X70 di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di MITEC, turut bersama Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad (kanan) dan CEO of PROTON Edar, Abdul Rashid Musa (kiri), November tahun lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

“Matlamat kami adalah untuk mencuba dan mengakhiri tahun ini di tempat kedua untuk mewujudkan asas yang kukuh dalam matlamat jangka panjang kami bagi memimpin sekali lagi pasaran kereta di

Malaysia.

“Melalui pelancaran Iriz dan Persona dan versi Proton Exora dan Saga yang dipertingkat yang akan diperkenalkan akhir tahun ini, syarikat yakin untuk mencapai matlamatnya,” katanya dalam satu kenyataan.

PROTON kini menguasai 13.6 peratus pasaran tempatan keseluruhan, disokong oleh prestasi jualan kukuh Proton X70 dan Proton Saga.

Saga telah menggantikan Proton X70 sebagai model paling laris dengan jualan sebanyak 3,047 unit, yang juga kali pertama model itu berjaya memecah rekod jualan sebanyak 3,000 unit sejak Ogos 2018 semasa tempoh jualan tanpa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selama tiga bulan.

Bagi Proton X70 pula, sebanyak 11,133 unit telah diserahkan setakat ini pada 2019, menjadikannya pemimpin bagi kategori kenderaan utiliti sukan (SUV) premium (segmen-C) dan juga juara bagi kategori SUV eksekutif (harga atas RM100,000).

Proton X70 kekal sebagai SUV paling laris di Malaysia pada tahun ini, dengan sebanyak 24 peratus pegangan pasaran bagi segmen keseluruhan.

Berita Harian X