Isnin, 22 April 2019 | 3:11pm
Syed Zainal Abidin (dua dari kanan) dan Pengarah Autohous, Muhammad Eezam Masripan (kanan) merasmikan bangunan Petronas AutoExpert di Seksyen 15, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Petronas Lubricants perkenal pusat servis AutoExpert

SHAH ALAM: Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) bersama Petronas Lubricant International (PLI) melancarkan pusat servis Petronas AutoExpert dan menyasar membuka 100 lagi cawangan dalam tempoh lima tahun.

Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, ini adalah salah satu perancangan utama PLI dalam menawarkan rangkaian produk dan kepakaran teknikal di bawah satu bumbung serta penjagaan yang lebih berkualiti kepada pengguna.

“Pusat servis ini berfungsi sebagai pemangkin dan konsep baru dalam mewujudkan lebih banyak usahawan francais tempatan serta bakal diluaskan ke 30 negara lain seperti China, India dan Eropah serta Amerika Selatan,” katanya pada pelancaran global cawangan pertama Petronas Auto Expert di sini, hari ini.

Katanya, PLMM kini sedang bekerjasama dengan pusat kemahiran dan teknikal dalam menyediakan peluang pekerjaan selain sebagai persediaan awal dalam membuka lebih banyak cawangan kelak.


Syed Zainal Abidin (tengah) diiringi Pengarah Autohous, Muhammad Eezam Masripan (kiri) melawat sekitar bengkel kereta selepas merasmikan bangunan Petronas AutoExpert di Seksyen 15, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Syed Zainal Abidin (tiga dari kiri) dan Pengarah Autohous, Muhammad Eezam Masripan (tiga dari kanan) di hadapan bangunan Petronas AutoExpert pada Majlis Perasmian Petronas AutoExpert di Seksyen 15, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Selain latihan, pihaknya juga akan membantu usahawan menerusi penyediaan latihan, sokongan pemasaran, program perniagaan dan khidmat nasihat dalam perkembangan perniagaan mereka pada masa hadapan.

Pusat servis Petronas AutoExpert ini dikendalikan oleh Autohaus KL dengan pelaburan RM1.5 juta berkeluasan 12,000 kaki persegi serta 14 ruang servis yang dibuka setiap hari.

Ia menyediakan kelengkapan terkini untuk servis kenderaan menyeluruh menggunakan produk berkualiti daripada Petronas serta perkhidmatan lain seperti imbangan dan penjajaran roda serta penyaman udara.

Ruang menunggu yang selesa turut disediakan sebagaimana di kebanyakan pusat servis kenderaan jenama premium di negara ini namun, pada harga yang lebih kompetitif.

Berita Harian X