Khamis, 18 April 2019 | 11:39am
Yasser bersama Peugeot SUV 3008. - NSTP/Saddam Yusoff

SUV penyumbang utama jualan Nasim

SHAH ALAM: Nasim Sdn Bhd (Nasim), pengedar rasmi kenderaan jenama Peugeot di Malaysia menjangkakan segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) terus menjadi penyumbang utama kepada jualan keseluruhannya pada tahun ini.

Ketua Syarikatnya, Yasser Awan, berkata pada tahun lalu segmen SUVnya menjadi penyumbang utama yang membabitkan kira-kira 70 peratus daripada jualan keseluruhannya pada tahun lalu iaitu sebanyak 2,300 unit kenderaan.

"Untuk tahun ini, kami akan terus fokus kepada segmen SUV terutama melalui dua model kami iaitu Peugeot SUV 3008 dan 5008 yang dilihat menerima sambutan baik dalam kalangan pengguna.

"Secara keseluruhan, kami agak optimis mampu untuk mencatatkan pertumbuhan jualan keseluruhan 15 peratus pada tahun ini dalam keadaan ekonomi terkini dengan peningkatan kepada 75 peratus bagi segmen SUV," katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini segmen SUV semakin mendapat permintaan baik dan semakin popular dalam kalangan pengguna sehingga menyaksikan banyak jenama automotif lain turut menghasilkan kenderaan untuk segmen terbabit.

"Kenderaan dari segmen SUV kami turut menerima permintaan baik di pasaran meskipun dalam persekitaran ekonomi terkini di mana kami adalah adalah peneraju SUV bagi jenama Eropah di negara ini.

Menurutnya, pada masa ini Peugeot berada di tempat keempat dan menguasai enam peratus untuk pasaran kenderaan jenama Eropah di negara ini.

"Kami jangka industri automotif berdepan cabaran pada tahun ini namun kami masih sedikit optimis untuk terus bersaing melalui pengenalan beberapa model baharu termasuk SUV baharu menjelang separuh kedua tahun ini," katanya.

Mengulas persaingan dalam segmen SUV, Yasser berkata pihaknya akan memanfaatkan kelebihan model kenderaannya yang berjaya memenangi Anugerah Kereta Tahunan Terbaik 2018 yang dianjurkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI) melalui Peugeot SUV 3008.

"Kami juga akan fokus kepada promosi berterusan dengan memberi penekanan kepada ciri-ciri terbaik model ini, aspek keselamatan dan gaya yang ditawarkan melalui penganjuran siri jelajah dan pandu uji bagi sepanjang tahun ini," katanya.

Jenama Peugoet kini memiliki tiga SUV untuk pasaran tempatan iaitu Peugeot SUV 2008, 3008 (dua varian) dan 5008.

Berita Harian X