Selasa, 9 April 2019 | 8:51pm

PROTON, Petronas Lubricants lanjutkan kerjasama

KUALA LUMPUR: PROTON melanjutkan tempoh kerjasama dengan Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM) selama 10 tahun untuk membangunkan, membekal dan penghantaran produk minyak pelincir dan cecair berfungsi, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

PLMM ialah anak syarikat Petronas Dagangan Bhd (PDB) dan Petronas Lubricants International (PLI).

Dalam kenyataan bersama, ia berkata kerjasama itu dimeterai menerusi Perjanjian Bekalan, Teknologi, Komersial dan Kerjasama Global.

Di bawah perjanjian itu PLI dan PLMM akan terus membekalkan pelbagai produk berkualiti untuk kilang dan perkhidmatan selepas jualan Proton, dengan produk utama adalah membabitkan Petronas Syntium SE.

“PROTON dan PETRONAS mempunyai sejarah yang panjang dalam jalinan kerjasama, oleh itu ia adalah perkara yang biasa untuk meneruskan perkongsian kami.

“PROTON mempunyai banyak model baharu menarik dalam perancangan dan kami bersemangat untuk meneroka penyelesaian teknikal dibangunkan bersama dengan PETRONAS yang akan memberi manfaat kepada pelanggan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata: "PETRONAS telah menjadi penyedia penyelesaian cecair rasmi kepada PROTON sejak 1989. Kami gembira untuk meneruskan perkongsian ini kerana ini bukti yang jelas mengenai kepercayaan dan keyakinan PROTON terhadap produk dan perkhidmatan kami".

Berita Harian X