Isnin, 11 March 2019 | 6:09pm
DR Li Chunrong selepas program prebiu Proton Persona bersama media. - Foto Roslin Mat Tahir

PROTON sasar jualan bulanan Iriz, Persona naik 30 peratus

SUBANG JAYA: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) menjangkakan peningkatan jualan bulanan sebanyak 30 peratus bagi dua model dipertingkatkan, Iriz dan Persona yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata sasaran itu bersandarkan kepada pengenalan dua model versi terbaharu yang mendapat sentuhan terkini selepas pengumuman kerjasama bersama Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding).

"Model Iriz dan Persona masing-masing mencatat jualan sekitar 1,000 dan 2,000 unit sebulan. Dengan pengenalan model mendapat pelbagai pembaharuan ini, kita jangka jualan akan terus berkembang lebih posotif," katanya selepas program prebiu Proton Persona bersama media di sini, hari ini.

Chunrong berkata, PROTON juga akan melancarkan model Proton Iriz dan Persona serentak tidak lama lagi.

"Pelancaran model hatchback dan sedan dipertingkatkan yang bakal diadakan dalam masa terdekat adalah selaras dengan usaha menjimatkan kos.

"Harga untuk Iriz dan Persona juga akan diumumkan ketika pelancaran nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PROTON sedang berusaha keras untuk memulihkan jenama kereta nasional untuk kembali di landasan tepat dan mencatat untung menjelang 2020.

"Selepas 17 bulan menjalinkan kerjasama (PROTON-Geely Holding), kami melancarkan X70 dan tidak lama lagi Iriz dan Persona, sekali gus membuktikan usaha keras kami.

"Pada masa ini, kita memiliki produk yang bagus dan kami sedang bekerja keras memulihkan prestasi PROTON," katanya.

Sementara itu, versi terkini model sedan popular Proton Persona yang mula diperkenalkan pada 2007 menerima 303 pembaharuan, selain menampilkan kejuruteraan lebih berkualiti, penjimatan bahan api dan pemanduan selesa.

Persona baharu ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard 1.5L VVT MT, Standard 1.6L VVT CVT, Executive 1.6L VVT CVT dan Premium 1.6L VVT CVT.PROTON juga mengadakan jualan kilat untuk Persona bermula esok hingga 22 Mac ini, di mana pembeli boleh membuat tempahan hanya RM9.99.

Berita Harian X