Rabu, 6 March 2019 | 3:20pm
Pendaftaran bagi model Proton X70 terus melonjak kerana lebih banyak unit model berkenaan tiba di Malaysia.

X70 pacu pertumbuhan kukuh jualan PROTON

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) mencatatkan permulaan 2019 dengan cemerlang apabila merekodkan pertumbuhan jualan dua bulan pertama lebih tinggi daripada pesaingnya pada kadar 42 peratus, berbanding tempoh sama 2018.

Pendaftaran jualan keseluruhan PROTON bagi Februari lalu adalah sebanyak 5,283 unit, mewakili kira-kira 12.7 peratus penguasaan pasaran, dengan peningkatan lebih tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

PROTON dalam kenyataannya berkata, Februari adalah bulan yang singkat bagi penjualan kereta di Malaysia disebabkan cuti umum, Tahun Baharu Cina dan majoriti jenama automotif menjangkakan bulan penjualan lebih perlahan.

“Bagaimanapun PROTON menunjukkan peningkatan jualan yang sihat sebanyak 37 peratus tahun ke tahun, sekali gus mendahului pertumbuhan jualan pesaing lain bagi tempoh dua bulan berturut.

“Prestasi itu pada masa sama terus mengukuhkan kedudukan PROTON sebagai jenama automotif ketiga terlaris di Malaysia dan kemungkinan berada pada kedudukan kedua terlaris menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Pendaftaran bagi model Proton X70 terus melonjak kerana lebih banyak unit model berkenaan tiba di Malaysia.

Sebanyak 2,823 unit sudah didaftarkan pada Februari termasuk 1,000 unit yang diserahkan secara serentak kepada pelanggan di seluruh negara sebelum Tahun Baharu Cina lalu.

Sehingga akhir Februari, lebih 20,000 tempahan telah diterima untuk SUV pertama PROTON, melebihi jangkaan syarikat dan menjadikan syarikat sebagai pemimpin segmen ini meskipun baru menerokai pasaran ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata Proton X70 sedang berusaha menarik minat dan sokongan padu daripada pembeli SUV di Malaysia.

“Kami sangat berterima kasih di atas jumlah tempahan yang diterima dan bekerja keras untuk mendapatkan seberapa banyak unit untuk didaftarkan dan diserahkan kepada pelanggan secepat mungkin,” katanya.

Selepas penyerahan sebanyak 6,927 unit Proton X70 sejak dilancarkan pada 12 Disember 2018, PROTON mencatatkan rekod baharu bagi pendaftaran model itu dalam tempoh tiga bulan pertama selepas pelancarannya.

Jumlah yang direkodkan adalah melebihi daripada sebelum ini dan mengesahkan populariti SUV pintar itu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Chunrong berkata, PROTON berbangga dengan pencapaian rekod baharu untuk pendaftaran SUV itu dalam tempoh tiga bulan pertama selepas pelancarannya.

“Angka berkenaan lebih bermakna apabila jumlah itu dicapai dalam tempoh dua sambutan perayaan (Krismas dan Tahun Baru Cina) dan merangkumi dalam masa hanya 78 hari.

“Sasaran kami seterusnya adalah memenuhi jumlah pendaftaran enam bulan serta sepanjang tahun dan kami yakin ia dapat dicapai,” katanya.

Berita Harian X