Rabu, 20 Februari 2019 | 12:44pm

Jualan kenderaan Januari 48,450 unit

KUALA LUMPUR: Pasaran automotif tempatan mencatat jualan sebanyak 48,450 unit kenderaan pada Januari 2019, lebih tinggi berbanding 44,560 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan jualan sebanyak sembilan peratus atau 3,890 unit yang dicatatkan bulan lalu disokong langkah pengeluar untuk menghabiskan stok 2018 dan promosi bagi menyambut Tahun Baru Cina.

Bagi bulan dikaji, jualan kenderaan penumpang mencatat peningkatan sebanyak 4,297 unit kepada 44,264 unit berbanding 39,967 unit pada Januari 2018.

Kenderaan komersial pula berjaya mencatat jualan 4,186 unit pada Januari tahun ini daripada 4,593 unit yang diraih bagi tempoh sama tahun lalu.

Dari segi pengeluaran, pasaran automotif tempatan menghasilkan 54,818 unit kenderaan pada Januari 2019, menyusut berbanding 68,002 unit Januari tahun lalu.

Bagi Februari, MAA menjangkakan jumlah jualan lebih rendah berbanding Januari susulan tempoh hari bekerja yang lebih pendek disebabkan cuti umum Tahun Baru Cina.

Berita Harian X