Selasa, 19 Februari 2019 | 3:50pm
PROTON Holdings Bhd.

Pengedar Proton dapat manfaat naik taraf pusat servis

SUBANG JAYA: Pengedar Proton Holdings Bhd yang menaik taraf pusat servis mereka kepada 3S dan 4S, kini meraih pelbagai manfaat, termasuk jualan menggalakkan X70, kenderaan ultiliti sukan (SUV) yang dilancarkan baru-baru ini.

Kemunculan SUV itu turut memberi motivasi segera kepada jenama Proton berikutan persepsi dan keyakinan pelanggan meningkat terhadap pengeluar kereta tempatan itu sebagai setanding dengan pengeluar kenderaan global yang lain.

“Selepas untuk tempoh lama mencatatkan penurunan jualan, kerjasama Proton-Geely telah meletakkan Proton di tempat kedua dalam gelombang pertumbuhan, sekali gus memberi manfaat kepada kami,” kata Mohammad Hafidz SH, daripada Pusat 3S Proton Pantai Bharu.

Mohammad Hafidz, yang juga pengurus Teknologi Maklumat, Rangkaian dan Pemasaran Media bagi pengedar itu berkata model terbaru Proton itu dilengkapi teknologi canggih terkini, selesa dan ciri keselamatan dipertingkat, berbanding model sebelumnya.

“X70 terbukti menjadi jualan terlaris dan satu daripada prestasi terbaik Proton setakat ini,” katanya dalam temuramah dan petikan itu dikeluarkan dalam kenyataan di sini, hari ini.

Gabungan pemasaran secara digital dan dalam talian serta akhbar dan papan iklan sepanjang tahun telah mendorong X70 SUV dijual seperti pisang goreng panas, kata Mohammad Hafidz.

Perkongsian Proton-Geely yang membawa kepada perjanjian usaha sama antara vendor kereta China dan tempatan itu, turut membuka pintu kepada pengeluar kereta Malaysia itu untuk menembusi China - pasaran kenderaan terbesar di dunia.

“Proton sedang memperbesarkan kilangnya di Tanjung Malim untuk mengeluarkan X70 di Malaysia, untuk pasaran tempatan dan ASEAN. Jadi, ini memberikan kami potensi untuk berkembang di rantau ini,” kata Mohammad Hafidz.

Neoh Eu Gene, Pengurus Servis Proton 4S Vantage Speed, berkata kelebihan ketara bagi pembeli X70 adalah mereka kini yakin untuk kenderaan mereka menjalani servis di pusat 3S dan 4S, termasuk membaiki kereta yang terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Di samping dapat mempamerkan model baharu akan datang, pusat servis 3S dan 4S yang luas dan selesa beroperasi sebagai pusat sehenti dari saat kereta dijual dan sepanjang hayat penyenggaraannya,” katanya.

“Berdasarkan apa yang dimaklumkan Proton kepada kami, pusat 4S amat penting untuk menaikkan keyakinan pelanggan kerana kenderaan baharu dilancarkan setiap tahun, sebab itu kenapa transformasi dan sandaran sebagai pusat servis lengkap adalah amat penting,” katanya.

Proton turut mencapai satu lagi kejayaan dengan penyerahan 1,000 unit Proton X70 kepada pelanggan dalam sehari, sempena dengan acara rumah terbuka Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Rumah terbuka Tahun Baharu Cina itu diadakan di 74 cawangan Proton 3S (jualan, servis dan alat ganti) dan 4S (jualan, servis, alat ganti dan perkhidmatan badan/cat) di seluruh negara pada 2 Februari.

Kebanyakan daripada transformasi pengedaran itu dicapai sebelum X70 tiba.

Proton setakat ini mempunyai 74 pusat 3S/4S di seluruh negara yang menepati standard baharu dan imej korporat syarikat.

Proton mendaftarkan jualan sebanyak 7,007 unit pada Januari 2019, dengan X70 penyumbang penting dalam meningkatkan prestasi jualan.

-BERNAMA

Berita Harian X