Jumaat, 1 Februari 2019 | 5:39pm
Proton X70.

Proton X70 pecah rekod pendaftaran SUV segmen C

SUBANG JAYA: Selepas mencatatkan rekod pendaftaran kenderaan utiliti sukan (SUV) paling banyak di pasaran Malaysia pada Disember 2018, Proton X70 terus mencatatkan rekod bagi SUV segmen C paling tinggi didaftarkan dalam tempoh sebulan dengan 2,777 unit didaftarkan pada bulan lalu.

Jumlah jualan itu meningkat sebanyak 33.6 peratus berbanding jualan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, sementara perbandingan dari tahun ke tahun, angka berkenaan mewakili pertumbuhan sebanyak 46.5 peratus berbanding Januari 2018.

Ia sekali gus menjadikan PROTON Holdings Bhd mendahului pasaran dalam kadar pertumbuhan bagi jenama automotif antara ketiga yang teratas.

Dengan jumlah pendaftaran rekod yang dicatatkan X70 itu, PROTON memulakan 2019 dengan pencapaian memberangsangkan, yang mana jumlah pendaftaran meningkat kepada 7,007 unit pada bulan lalu.

Penguasaan pasaran dianggarkan pada 14.5 peratus, meskipun angka sebenar hanya akan disahkan selepas data jualan industri dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Satu lagi pencapaian pengeluar kereta nasional itu yang mendahului industri adalah dalam jumlah kemudahan yang ada pada cawangan 3S/4S.

Sehingga akhir bulan ini, terdapat 74 cawangan PROTON 3S/4S dan pengedar beroperasi dan akan lebih banyak cawangan dibuka sepanjang tahun ini.

Cawangan akan bergandingan membantu PROTON dalam mencapai Indeks Perkhidmatan Jualan (SSI) dan Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI) mencapai sasarannya.

“PROTON amat berterima kasih kerana dapat membuka tirai 2019 secara positif. Kami sudah menjangkakan pencapaian jumlah cawangan 3S/4S di dalam industri pada hujung bulan ini, tetapi angka pertumbuhan jualan dan rekod pendaftaran SUV adalah disebabkan oleh sokongan yang kami terima daripada pembeli kereta di Malaysia.

“Masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menaikkan semula jenama syarikat tetapi kami akan berusaha untuk terus memberikan pengalaman mewah di cawangan kami disamping meningkatkan penawaran bagi model kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong dalam satu kenyataan.

Bagi bulan ini, PROTON sedang berusaha mengekalkan momentum jualannya dengan mengadakan promosi Ang Pow.

Pembeli layak untuk mendapatkan penjimatan sehingga RM4,000 bergantung pada model yang dipilih.

“Sempena dengan Tahun Baru Cina, PROTON ingin terus memberikan ganjaran kepada pelanggan dengan menawarkan insentif tambahan yang membeli kereta baharu.

“Syarikat juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat Malaysia dan mengingatkan mereka untuk memandu dengan selamat sepanjang tempoh perayaan,” kata Chunrong.

PROTON adalah 50.1 peratus milik DRB-HICOM Bhd dan 49.9 peratus oleh Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd.

Ditubuhkan pada 1983, ia adalah satu-satunya pengeluar kereta OEM sepenuhnya yang lengkap dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Asia Tenggara.

Berita Harian X