Rabu, 30 Januari 2019 | 12:47pm
Pelancaran Mitsubishi Triton baharu di One Utama, Petaling Jaya. Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq.
Pelancaran Mitsubishi Triton baharu di One Utama, Petaling Jaya. Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq.

Triton baharu masuk pasaran tempatan

PETALING JAYA: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) melancarkan barisan model Triton baharu untuk pasaran tempatan yang ditawarkan pada harga bermula RM100,200.

Model yang mula diperkenalkan pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS'18) pada Disember lalu ditawarkan menerusi lima pilihan varian iaitu MT, AT, MT Premium, AT Premium dan Adventure X serta empat pilihan warna terdiri daripada Jet Black Mica, Graphite Grey, Sterling Silver dan White Diamond.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi, berkata semua varian dikuasakan enjin diesel turbo MIVEC 2.4 liter dengan teknologi VVT dan VGT yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

"Triton baharu ini juga dilengkapi ciri keselamatan canggih seperti seperti Forward Collision Mitigation (FCM), Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (UMS), Amaran Lalu Lintas Belakang (RCTA), Amaran Titik Buta dengan Bantuan Menukar Lorong (BSW dan LCA) serta Lampu Tinggi Automatik (AHB).

"Varian tertentu juga didatangkan dengan tujuh beg udara SRS, pengagihan daya brek elektronik (EBD), Bantuan Membrek (BA), Kestabilan Aktif dan Kawalan Cengkaman (ASTC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Kawalan Menurun Curam (HDC), Bantuan Kestabilan Treler dan Brake Override System," katanya pada majlis pelancaran Trition baharu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Perancangan Strategik dan Penyelaras Projek MMM, Hoffen Teh, berkata syarikat yakin model baharu itu akan menerima sambutan serta memacu pertumbuhan MMM pada tahun ini.

"Pada 2018, jualan bagi model Trition adalah sebanyak 5,600 unit, meningkat 24 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ini sekali gus menjadikan model ini sebagai model paling laris Mitsubishi di Malaysia.

"Sasaran jualan tahun ini adalah 600 unit sebulan dan dijangka menyaksikan pertambahan 28 peratus jualan Triton," katanya.

Mengulas mengenai prestasi pasaran, beliau mengunjurkan segmen pikap trak akan meningkat sedikit pada tahun ini berikutan permintaan yang semakin meningkat di pasaran tempatan.

"Permintaan terhadap kenderaan pikap trak di Malaysia didorong oleh peningkatan penggunaan dari segi gaya hidup dan juga urusan perniagaan. Kami menjangkakan jualan bagi segmen pikap trak pada tahun ini akan berada di paras 45,000 unit," katanya.

Berita Harian X