Khamis, 24 Januari 2019 | 12:53pm
Ong Kian Ming (tengah) pada sidang media mengenai permohonan insentif automotif di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Ong Kian Ming (tengah) pada sidang media mengenai permohonan insentif automotif di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Kerajaan komited percepat kelulusan insentif automotif

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif (ABDC) akan diadakan dua kali sebulan bagi mempercepatkan proses permohonan berkaitan insentif automotif.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata keputusan itu dicapai hasil perbincangan kementeriannya serta anggota ABDC dengan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) semalam.

Beliau berkata, dengan pertemuan yang lebih kerap itu membolehkan peserta industri mendapat kejelasan mengenai kelulusan Program Hubungan Industri (ILP) dan Insentif Khusus (CI) bagi kenderaan cekap tenaga (EEV).

"MITI sentiasa mengalu-alukan maklum balas yang membina daripada industri untuk meningkatkan proses ABDC dan akan terus berhubung dengan peserta industri bagi mengatasi isu penting dalam memacu pertumbuhan industri automotif di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai permohonan insentif automotif di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MITI, Datuk Isham Ishak dan Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad.

Kian Ming berkata, kementeriannya akan berusaha mempercepatkan proses kelulusan insentif automotif bagi membolehkan pengeluar kereta melancarkan model baharu secepat mungkin.

Beliau berkata, penangguhan kelulusan sebelum ini sedang diselesaikan dan Kementerian Kewangan sudah menghantar surat kelulusan kepada beberapa pengeluar kenderaan di negara ini untuk membolehkan mereka menetapkan harga bagi model baharu.

Sementara itu, Aishah berkata, MAA gembira dengan komitmen yang diberikan kerajaan dalam mempercepatkan proses kelulusan berkaitan insentif automotif.

Beliau berkata, pihaknya berharap pada masa depan sebarang kelulusan insentif automotif dibuat dengan lebih cepat.

Berita Harian X