Isnin, 21 Januari 2019 | 5:42pm
Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Amirudin Abd Kadir. - Arkib NSTP

MODENAS tumpu segmen 'street bike', moped

SUBANG JAYA: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyasarkan menjual 10,000 unit motosikal tahun ini disokong pengenalan dua varian baharu, masing-masing bagi segmen ‘street bike’ dan moped.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amirudin Abd Kadir, berkata perincian berhubung dua varian itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, bagi tempoh April 2017 sehingga akhir 2018, MODENAS mencatat prestasi jualan memberangsangkan apabila mencatat jumlah jualan 9,800 unit.

“Daripada jumlah itu Pulsar NS200 muncul model paling laris dengan mencatat jualan 4,700 unit, disusuli Pulsar RS200 sebanyak 2,800 unit dan Dominar D400 sebanyak 1,100 unit. Ketiga-tiganya adalah bagi segmen ‘street bike’.

“Manakala bagi segmen moped pula, sejumlah 1,200 unit V15 dijual sepanjang tempoh itu,” katanya pada sidang media majlis memperkenalkan rancangan realiti TV Pulsar Dareventure di sini, baru-baru ini.

Pulsar NS200, Pulsar RS200 dan V15 dilancarkan pada Mei 2017, dihasilkan menerusi kerjasama dengan syarikat pengeluar motosikal dari India, Bajaj Auto Ltd (BAL).

Dominar D400 yang juga dikeluarkan menerusi kerjasama BAL, dilancarkan di pasaran tempatan April tahun lalu.

Pulsar NS200 dan RS200 masing-masing dijana enjin 199cc, SOHC, 4 lejang, penyejuk cecair, suntikan bahan api silinder tunggal dan tiga palam pencucuh digital.

Moped V15 didatangkan dengan enjin 150cc menggunakan palam pencucuh berkembar digital.

Dominar D400 pula adalah motosikal model ‘sport tourer’ keduanya selepas model Jaguh diperkenalkan pada 1999 dan adalah produk ketiga dikeluarkannya bersama Bajaj Auto selepas Pulsar dan V15.

Jentera kelas pertengahan itu dikuasakan enjin 373cc sejukan cecair yang menyalurkan kuasa 35PS pada 8,000 rpm manakala daya kilas maksimum 35Nm pada 6,500 rpm.

Amirudin berkata, MODENAS menguasai 40 peratus pasaran motosikal bagi kategori di bawah 1,000cc tahun lalu.

Berita Harian X