Khamis, 20 Disember 2018 | 3:19pm

Jumlah jualan kenderaan tahun ini dijangka lepasi sasaran

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan (TIV) bagi keseluruhan tahun ini dijangka mencecah lebih 600,000 unit, mengatasi jangkaan awal 586,000 unit, demikian menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan tempatan itu berkata, prestasi memberangsangkan itu terutamanya didorong oleh pelepasan cukai pada suku ketiga.

“Berdasarkan asas pada tahun ini, TIV keseluruhan mampu melepasi ramalan awal memandangkan jumlah jualan sehingga November berada pada 550,526 unit.

“Sekiranya kempen (pemilikan kereta) kekal seperti tahun sebelum ini, terdapat peluang bagi TIV 2018 mencecah atau melepasi sasaran 600,000 unit,” katanya dalam nota kajian hari ini.

Menurut MIDF, prestasi memberangsangkan itu disokong oleh peningkatan ketara daripada PERODUA dan Mazda manakala PROTON, Toyota, Honda dan Nissan tidak melepasi ramalan awal.

“PERODUA menunjukkan TIV yang kukuh selepas mencatatkan TIV yang lemah pada September dengan merekodkan peningkatan 8.0 peratus bulan ke bulan dan 27 peratus tahun ke tahun.

“TIV PERODUA pada September terkesan akibat gangguan pengeluaran MyVi, namun kembali pulih pada Oktober. Terdapat peluang PERODUA dapat mengungguli senarai pengeluar dan mengatasi ramalan 2018 kami. Tambahan pula, SUV D38L dijangka dilancarkan pada suku pertama 2019 dan mampu memacu keseluruhan tahun 2019 bagi TIV PERODUA,” katanya.

Selain itu, Mazda turut mengungguli pasaran automotif dengan mencatatkan TIV sebanyak 14,587 unit ketika ini, meningkat 114 peratus daripada ramalan awal bagi 2018.

“Mazda menyaksikan peningkatan pegangan pasaran kepada 3.9 peratus pada November 2018 daripada 2.1 peratus pada tahun lalu.

“Dengan jumlah pesanan sebanyak 8,000 unit pada Januari 2019, prestasi kukuh Mazda dilihat mampan didorong oleh permintaan kukuh bagi CX5 baharu yang dilancarkan pada Oktober 2017. Sehingga kini, TIV Mazda meningkat sebanyak 62 peratus, mengatasi keseluruhan prestasi TIV sebanyak 5.5 peratus.

Sementara itu, MIDF berkata, kehadiran Proton X70 di pasaran tempatan dengan harga antara RM99,800 hingga RM123,800 seunit, juga mampu memberi saingan kepada model Honda HRV dan Mazda CX3 yang mengungguli segmen berkenaan.

Berita Harian X