Jumaat, 7 Disember 2018 | 3:52pm
Dari kiri; Pengurus Besar Pengedar sah Mercedes-Benz, Cycle & Carriage Bintang Bhd, Andrew Lim, Pengurus Besar Bahagian Jualan dan Pemasaran Mercedes Benz Malaysia Sdn Bhd, Emily Lek dan Ketua Pegawai Eksekutif Kitaran dan Pengangkutan, Wilfrid Foo mengambil gambar kumpulan semasa melancarkan Mercedes Benz Star Bergerak di TREC. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Dari kiri; Pengurus Besar Pengedar sah Mercedes-Benz, Cycle & Carriage Bintang Bhd, Andrew Lim, Pengurus Besar Bahagian Jualan dan Pemasaran Mercedes Benz Malaysia Sdn Bhd, Emily Lek dan Ketua Pegawai Eksekutif Kitaran dan Pengangkutan, Wilfrid Foo mengambil gambar kumpulan semasa melancarkan Mercedes Benz Star Bergerak di TREC. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Jualan Mercedes-Benz di Malaysia dijangka terus meningkat

KUALA LUMPUR: Pengedar sah Mercedes-Benz, Cycle & Carriage Bintang Bhd (CCBB) yakin mampu meningkatkan pendapatannya dalam segmen jualan kenderaan mewah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wilfrid Foo, berkata walaupun pasaran automotif agak tidak menentu tetapi bagi segmen kenderaan mewah ia masih menunjukkan peningkatan.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin industri automotif akan terus meningkat tahun hadapan terutama bagi segmen kenderaan mewah seperti Mercedes-Benz.

“Pada suku ketiga tahun ini, kami mencatatkan peningkatan dua angka dalam jualan dan perkhidmatan selepas jualan di semua rangkaian CCBB.

“Jadi secara keseluruhannya, kami optimis akan mampu meningkatkan pendapatan syarikat ditambah dengan beberapa inisiatif baharu yang dirancang,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan penyelenggaraan bergerak Mercedes-Benz Star Mobile.

Star Mobile adalah perkhidmatan bergerak untuk pemilik kenderaan Mercedes-Benz bagi penyelenggaraan berjadual, penggantian bilah pengelap, penggantian bateri dan kunci inframerah tanpa perlu ke pusat servis.

 

Foo berkata, perkhidmatan penyelenggaraan bergerak Star Mobile yang menggunakan model Mercedes-Benz Vito ketika ini perkhidmatannya hanya di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, perkhidmatan ini masih diperingkat percubaan untuk mendapat maklum balas dan keperluan pelanggan mereka.

“CCBB bersama Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd ingin mendapatkan sebanyak mungkin maklum balas dan apa yang dimahukan pelanggan kami.

“Masih tiada sasaran bila ia akan dikembangkan dan keperluan menambah kenderaan Star Mobile. Semuanya masih bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya.

Sempena dengan pelancarannya itu, bagi tiga bulan pertama, pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan Star Mobile akan dikecualikan yuran perkhidmatan.

Pelanggan boleh menjadualkan temujanji dengan pengedar CCBB di Lembah Klang untuk menikmati perkhidmatan Mercedes-Benz Star Mobile.

Berita Harian X