Isnin, 3 Disember 2018 | 1:22pm
ANTARA kenderaan yang terdapat di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS'18) yang berlangsung di MITEC. - Foto Mohd Yusni Ariffin
ANTARA kenderaan yang terdapat di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS'18) yang berlangsung di MITEC. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Penamat penantian sempurna

PAMERAN Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS'18), acara permotoran terbesar Malaysia yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 23 November hingga 2 Disember 2018 terus memperlihatkan saingan antara pengeluar automotif terkemuka untuk memperkenalkan pelbagai model baharu yang dijangka memasuki pasaran tahun depan.

Acara yang memasuki edisi kesembilan itu membariskan lebih 20 jenama automotif dengan kebanyakan daripadanya menggunakan kesempatan ini untuk mempamerkan produk baharu masing-masing.

Antara jenama syarikat automotif yang mengambil bahagian termasuk PROTON, PERODUA, Benelli, Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Isuzu, Kawasaki, Kia, Lexus, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Tata, Toyota, UD Trucks, CAM, DS, Citroen serta Petronas Motorsports.

Ketengahkan teknologi masa depan permotoran

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad, berkata bertemakan "Beyond Mobility", KLIMS'18 bukan sahaja sebagai platform untuk mempamerkan produk daripada industri automotif dalam dan luar negara, ia mengetengahkan teknologi baharu yang bakal diguna pakai pada kenderaan pada masa hadapan.

"Menerusi KLIMS'18, pengunjung dapat menyaksikan koleksi terbesar kereta, motosikal dan kenderaan komersial, pelancaran produk serta barisan kereta edisi terhad dan kereta vintaj.

"Malah, pengunjung juga boleh menyaksikan kenderaan konsep yang memberikan bayangan hala tuju penghasillan kereta pada masa akan datang," katanya.

KLIMS'18 merangkumi enam dewan pameran membabitkan dua tingkat, yang meliputi lebih daripada 16,000 meter persegi ruang pameran dengan 74 syarikat mengambil bahagian.

RIBUAN pengunjung membanjiri pada KLIMS’18 yang berlangsung selama 10 hari di MITEC. - Foto Mohd Yusni Ariffin
RIBUAN pengunjung membanjiri pada KLIMS’18 yang berlangsung selama 10 hari di MITEC. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pelbagai aktiviti dan promosi

Sekiranya pameran produk terkini tidak cukup menghiburkan, pengunjung juga boleh menyertai rangkaian aktiviti dan promosi menarik yang dijalankan sepanjang acara berkenaan.

Misalnya, KLIMS'18 Car Zone "Sup-Up" mempamerkan barisan supercar, termasuk Bentley GT, Lamborghini Gallardo, Mclaren 650S dan limosin SUV terpanjang di Malaysia, Cadillac Escalade 180.

Down Memory Lane Zone pula mempamerkan kenderaan vintaj, termasuk yang telah mengembara benua seperti Vintage 1934 Austin 7, Volkswagen Kombi 1978 yang telah mengembara sejauh 45,000 kilometer dari Malaysia ke Jerman serta Ford Capri 1971 yang mencatatkan pemanduan dari Malaysia ke Sri Lanka pada 2015/16.

Selain itu, Zon Pusat Inovasi mempamerkan kenderaan prototaip dari enam universiti termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti PErtahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Lebih menarik, KLIMS'18 juga menawarkan peluang kepada pengunjung untuk membawa pulang Toyota C-HR, Honda City dan Perodua Myvi sempena cabutan bertuah utama.

RIBUAN pengunjung membanjiri pada KLIMS’18 yang berlangsung selama 10 hari di MITEC. - Foto Mohd Yusni Ariffin
RIBUAN pengunjung membanjiri pada KLIMS’18 yang berlangsung selama 10 hari di MITEC. - Foto Mohd Yusni Ariffin

INFO

- Tarikh: 23 November hingga 2 Disember 2018

- Tempat: Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC)

- Masa: 11 pagi hingga 10 malam pada hari bekerja dan 10 pagi hingga 10 malam pada hujung minggu

Berita Harian X