Selasa, 27 November 2018 | 9:00am
DEFINISI baharu Mercedes-Benz C-Class.

Model C-Class dipertingkatkan berbeza

BARU-BARU ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan enam model facelift C-Class terdiri daripada versi sedan dan coupe iaitu Mercedes-Benz C 200 Avantgarde Line, C 300 AMG Line dan Mercedes-AMG C 43 yang menampilkan pelbagai pembaharuan untuk pasaran tempatan.

Sempena pelancaran itu, BH Auto berkesempatan menyertai sesi pandu uji selama dua hari ke Cameron Highlands bagi menguji keupayaan ketiga-tiga model berkenaan.

Terdahulu, mengulas mengenai penampilan luaran, model facelift ini tidak dinafikan hanya membabitkan sedikit pembaharuan. Bagaimanapun, hasilnya tidaklah begitu mengecewakan, sebaliknya ia membuatkan semua model berkenaan tampil lebih segar dan sporty.

Sentuhan baharu luaran, dalaman

Sentuhan baharu untuk luaran dapat dilihat pada rekaan bamper yang mana model C 200 didatangkan gril kembar manakala C 300 AMG Line tampil dengan gril dengan kemasan berlian.


MERCEDES-BENZ C 200 Avantgarde

Lampu depan dan belakang juga direka semula dengan model C300 dan C 43 dilengkapi Multibeam LED bersama 84 diod. Selain itu, model facelift ini turut hadir dengan reka bentuk rim baharu.

Di bahagian dalaman pula, pembaharuan ketara membabitkan stereng serta panel instrumen digital bersaiz 12.3 inci dengan gaya paparan pilihan Classic, Sport dan Progressive.

Ia juga dilengkapi paparan media resolusi tinggi bersaiz 10.25 inci di tengah yang dilengkapi sambungan integrasi untuk menghubungkan telefon pintar dengan sistem media itu menerusi Apple Car Play dan Android Auto.

Selain itu, C 200 Avantgarde juga menampilkan bantuan titik buta yang berfungsi pada kelajuan 10 hingga 200 kilometer sejam. Bagi varian C 300 dan C 43 pula, ia didatangkan Active Lane Keeping Assist yang membantu memberi amaran kepada pemandu sekiranya kenderaan semakin terkeluar daripada lorong dengan tidak sengaja pada kelajuan 60 hingga 200 km/j.

Prestasi pemanduan berbeza

Beralih kepada pemanduan, penulis memulakan sesi pandu uji dengan model C 300 yang dikuasakan enjin M264 2.0 liter empat silinder pengecas turbo yang mampu menghasilkan 258 kuasa kuda (hp) dan maksimum tork 370 Nm.

Janaan kuasa itu dipadankan dengan transmisi 9G-Tronic sembilan kelajuan membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum 250 kilometer sejam (km/j) dengan pecutan 0 hingga 100 km/j pada catatan masa 5.9 saat.


MERCEDES-BENZ C 300 AMG

Pecutan berkuasa dengan gandingan kawalan mantap C 300 sekali gus menjadikan jentera itu sesuai untuk pemanduan agresif, malah seronok dipandu ketika mengharungi laluan berselekoh.

Bagaimanapun, sebaik penulis bertukar kepada C 200, perbezaan ketara amat dirasai pada prestasi pemanduannya.

Mana tidaknya, C 200 hanya dikuasakan kapasiti enjin 1.5 liter empat silinder dengan tambahan kuasa sistem elektrik EQ Boost 48 volt menghasilkan output lebih rendah pada 181hp dan tork 280 Nm.

Janaan kuasa itu membolehkan jentera berkenaan melakukan pecutan 0 hingga 100 km/j pada catatan masa 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 239 km/j.

Bagi penulis, pengalaman pemanduan C 200 sememangnya selesa, seperti yang diharapkan untuk jenama premium, cuma, ia mungkin tidak sesuai untuk pemanduan sports (berbanding C 300).

AMG C 43 lebih berkuasa

Sekiranya prestasi kuasa menjadi pilihan utama antara model C-Class baharu ini, pastinya AMG C 43 adalah pilihan tepat.

Seperti varian C 200 dan C 300, model AMG ini juga menerima beberapa sentuhan baharu termasuk penambah baikan pada enjin serta reka bentuknya.

Penambah baikan yang diberi pada enjin M276 3.0 liter biturbo sekali gus membolehkan jentera itu menghasilkan 390 hp dan tork puncak 520 Nm.

Hasilnya, ia memberi kuasa tambahan sebanyak 23hp berbanding model sebelum ini.

Malah, dipadankan dengan transmisi automatik 9G TCT AMG Speedshift sembilan kelajuan bersama sistem pemanduan semua roda AMG Performance 4Matic, jentera itu hanya memerlukan 4.7 saat untuk melakukan pecutan 0 hingga 100 km/j.

Bagaimanapun, kelajuan maksimum kekal pada 250km/j.

INFO

Mercedes-Benz C 200 Avantgarde

- Harga RM259,888

- Enjin: M264 1.5 liter empat silinder pengecas turbo + kuasa sistem elektrik EQ Boost 48 volt

- Pecutan 0-100 km/j 7.7 saat

- Kelajuan maksimum 239 km/j

Mercedes-Benz C 300 AMG

- Harga: RM304,888

- Enjin M264 2.0 liter empat silinder pengecas turbo

- Pecutan 0-100 km/j 5.9 saat

- Kelajuan maksimum 250 km/j

Mercedes-AMG C 43 4MATIC

- Harga: RM421,888

- Enjin M276 3.0 liter biturbo

- Pecutan 0-100 km/j 4.7 saat

- Kelajuan maksimum 250 km/j

Berita Harian X