Jumaat, 23 November 2018 | 5:52pm
Kawasaki ZX-6R di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) - Foto Aswadi Alias

Kawasaki tampil dua model baharu

KUALA LUMPUR: Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB), pengedar utama motosikal jenama Kawasaki memperkenalkan dua model baharu berprestasi tinggi iaitu Ninja ZX-10RR dan Ninja ZX-6R untuk pasaran tempatan.

Pengerusinya, Ahmad Faez Yahya, berkata model superbikes daripada teknologi kejuaraan perlumbaan itu kini diberi beberapa peningkatan bagi kegunaan jalanan namun masih mengekalkan imej ikonik model itu.

“Untuk Ninja ZX-10RR, hanya 500 unit dikeluarkan di seluruh dunia. Ia jentera berprestasi sesuai untuk penggemar dan pengumpul koleksi motosikal dengan nombor siri pengeluaran terdapat pada setiap unit,” katanya pada majlis pelancaran di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) dekat sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah dan Pengurus Besar KMSB Datuk Jeffrey Lim serta Pengarah Urusan Idemitsu Lube (Malaysia) Sdn Bhd, Shin Obata.

Majlis sama turut menyaksikan KMSB melancarkan produk minyak enjin separa sintetik dan sintetik penuh jenama itu untuk pengguna motosikal Kawasaki yang dijual pada harga RM29.90 dan RM39.90 seliter.


Kawasaki Ninja ZX-10RR di KuaPameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) - Foto Aswadi Alias

Ahmad Faez berkata, model itu juga diasaskan daripada jentera perlumbaan Kawasaki Racing Team (KRT) yang digunakan oleh pelumba Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Jonathan Rea dengan enjin 1,000 cc.

Model Ninja ZX-6R pula dijana enjin 636 cc dengan kelebihan daya kilas rendah dan pertengahan yang berkuasa sesuai bagi kegunaan harian serta casis yang ditala untuk laluan selekoh, lebuh raya dan bandar.

Ia juga dilengkapi Penganjak Pantas Kawasaki (KQS), Sistem Brek Anti-Kunci intar Kawasaki (KIBS) dan Kawalan Cengkaman Kawasaki (KTRC) dengan tiga mod tunggangan terutama pada laluan basah untuk tunggangan lebih yakin.

Untuk pasaran Malaysia Ninja ZX-10RR dijual pada harga RM159,900 dan Ninja ZX-6R pada harga RM79,900 (semua harga atas jalan tanpa insurans) dan bakal berada di pasaran pada suku pertama dan kedua tahun depan.

Berita Harian X