Khamis, 22 November 2018 | 4:21pm
Menteri Pengangkutan , Anthony Loke Siew Fook (kiri) bersama Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad ketika gimik pelancaran Majlis Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di MITEC . NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD
Menteri Pengangkutan , Anthony Loke Siew Fook (kiri) bersama Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad ketika gimik pelancaran Majlis Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di MITEC . NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD

Pasaran automotif dijangka kekal positif

KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan pasaran automotif kekal positif walaupun berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi serta perubahan geopolitik negara.

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad, berkata pihaknya yakin pasaran akan terus berkembang berdasarkan sokongan yang diberikan peserta industri itu sempena Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18).

Aishah berkata, seiring dengan kehendak industri global yang bergerak ke arah teknologi baharu, KLIMS18 juga dijangka mengubah teknologi ke arah kepintaran buatan (AI), rangkaian dan tenaga boleh diperbaharui.

“Pameran kali ini adalah langkah agresif membabitkan semua pihak dalam menetapkan arah gaya kenderaan masa depan. Berdasarkan data MAA, industri automotif negara berkembang pesat dalam empat dekad kebelakangan ini.

“Jumlah keselurhan industri (TIV) berkembang dari 97,262 unit pada 1980 kepada 600,000 unit tahun lalu. Malaysia juga antara tiga pasaran automotif terbesar di Asia Tenggara,” katanya selepas pelancaran KLIMS18 di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Bertemakan "Beyond Mobility", KLIMS18 bakal bermula esok hingga 2 Disember di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Ia dianjurkan bersama MAA dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI). Sebanyak 74 pempamer menyertai pameran kali ini.

Pameran yang kali terakhir dianjurkan pada 2013 itu juga disertai 20 jenama pengeluar kereta dan tiga motosikal, manakala baki selebihnya adalah syarikat media, universiti dan yang berkaitan dengan automotif termasuk  aksesori.

Aishah berkata, acara yang dianjurkan buat kali kesembilan di negara ini juga menawarkan hadiah menarik sepanjang 10 hari acara berlangsung.

"Paling dinantikan adalah cabutan bertuah utama yang menawarkan tiga kereta iaitu Toyota C-HR, Honda City Hibrid dan Perodua Myvi. Selain itu kita ada tawarkan pelbagai lagi hadiah menarik kepada pengunjung," katanya.

Antara tarikan KLIMS'18 adalah pelancaran kenderaan dan produk automotif dan prebiu model kenderaan; kereta konsep; Sup-Up Car (6 supercar & 1 limusin); Innovation Zone (6 prototaip kenderaan dari universiti); Down Memory Lane Zone (10 Kereta Vintaj & Klasik); dan Art of Speed Zone (6 motosikal yang dibuat khas).

Berita Harian X