Ahad, 18 November 2018 | 5:51pm

74 pempamer sertai KLIMS'18

KUALA LUMPUR: Sebanyak 74 pempamer menyertai Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS'18) yang berlangsung dari 23 November hingga 2 Disember ini.

Pameran yang kali terakhir dianjurkan pada 2013 itu disertai 20 jenama pengeluar kereta dan tiga motosikal, manakala baki selebihnya adalah syarikat media, universiti dan yang berkaitan dengan automotif termasuk  aksesori.

KLIMS'18 anjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut menjangkakan kehadiran lebih 350,000 pengunjung berbanding 300,000 pada edisi terakhir lima tahun lalu.

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad, berkata acara yang dianjurkan buat kali sembilan di negara ini juga menawarkan hadiah menarik sepanjang 10 hari acara berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

"Paling dinantikan adalah cabutan bertuah utama yang menawarkan tiga kereta iaitu Toyota C-HR, Honda City Hibrid dan Perodua Myvi. Selain itu kita ada tawarkan pelbagai lagi hadiah menarik kepada pengunjung," katanya kepada BH.

Antara tarikan KLIMS'18 adalah pelancaran kenderaan dan produk automotif dan prebiu model kenderaan: kereta konsep; Sup-Up Car (6 supercar & 1 limusin); Innovation Zone (6 prototaip kenderaan dari universiti); Down Memory Lane Zone (10 Kereta Vintaj & Klasik); dan Art of Speed Zone (6 motosikal yang dibuat khas).

Selain itu, acara itu juga mempamerkan robot Tanker buatan Malaysia (20 kaki, diperbuat daripada komponen automotif); Family Fun Time (Sekolah Memandu Kanak-kanak, Inflatable Castles, Buskers);Hari Kunjungan Selebriti (24 dan 25 November serta 1 Disember) dan Pertandingan Fotografi.KLIMS'18 dengan tema Beyond Mobility dijangka dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Berita Harian X