Rabu, 10 Oktober 2018 | 6:09pm
Pengerusi Pembangunan Koridor Pelaburan Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dengan Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom dan Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar (tengah) di majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Vendor Malaysia dan Luar Negara di Proton Tanjung Malim. - Foto Zunnur Al Shafiq

PROTON labur RM1.2 bilion perbesar kilang Tanjung Malim

TANJUNG MALIM: PROTON Holdings Berhad memperuntukkan pelaburan sebanyak RM1.2 bilion bagi pembesaran kilang pengeluarannya di sini, sekali gus menjadi pusat pengeluaran model baharu jenama kereta nasional itu pada masa akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata sejajar perjanjian perkongsian strategik antara Proton dan Geely pada 2017, langkah itu juga adalah komitmennya untuk meningkatkan angka jualan dan eksport, dengan kilang di Tanjung Malim turut menjadi hab pengeluaran global model kenderaan pemanduan sebelah kanan kumpulan Geely.

“Pelan perniagaan 10 tahun kami adalah untuk mengembalikan kegemilangan Proton dengan membangunkan semula jenama ini sebagai pemimpin untuk pasaran tempatan dan meluaskannya ke peringkat antarabangsa terutama ASEAN,” katanya pada majlis memeterai perjanjian kerjasama pembekal PROTON dan rakan kongsi luar negara di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong; Timbalannya, Datuk Radzaif Mohamed dan Exco Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.

Perjanjian usaha sama antara vendor tempatan dan antarabangsa turut dimeterai sebagai persediaan untuk model Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Proton X70 dan model-model baharu lain yang akan dilancarkan pada masa hadapan.

Syed Faisal berkata, ia adalah pendekatan awal dalam usaha mencapai standard dunia daripada segi kemajuan teknologi dan kualiti dalam membangunkan komuniti pembekal industri automotif Malaysia.

Selain itu, ia katanya turut meliputi skop pengeluaran dan bantuan teknikal yang dijangka membawa pelaburan awal sebanyak RM170 juta serta bakal meningkat dalam tempoh beberapa tahun sejajar dengan peningkatan jumlah pengeluaran Proton, selain menyediakan 450 peluang pekerjaan.

“Pembabitan lapan syarikat tempatan dan antarabangsa ini sebagai permulaan untuk mencapai 30 peratus penghasilan komponen utama model-model PROTON menggunakan komponen tempatan bagi pemasangan tempatan (CKD) untuk pasaran domestik dan antarabangsa serta mampu berdepan pesaing dari seluruh dunia,” katanya.

Berita Harian X