Ahad, 7 Oktober 2018 | 5:42pm
NAZA Premira Sdn Bhd memperkenalkan tiga model baharu untuk pasaran tempatan. - Foto NSTP

Vespa Malaysia lancar tiga skuter baharu

KUALA LUMPUR: NAZA Premira Sdn Bhd, pengedar rasmi skuter jenama Vespa di negara ini, memperkenalkan tiga model baharu untuk pasaran tempatan.

Vespa Primavera 150, Vespa Sprint 150 dan Vespa GTS 300 Super Sport kini dengan ciri serta warna baru meneruskan kesinambungan sebagai jenama ikonik untuk gaya hidup permotoran.

Ketua Bahagian Dua Roda, Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Nazman Yusof, berkata pengenalan model itu sebagai memenuhi permintaan skuter Vespa yang semakin bertambah terutama buat mereka yang mahukan jentera dua roda yang premium serta bergaya.

“Model Vespa sememangnya tahan lasak dan tangkas terutama dalam laluan bandar dengan ciri prestasi serta penampilan baharu yang unik sesuai buat golongan pelbagai peringkat usia,” katanya ketika pelancaran Vespa baru bersempena acara Snearker-lah di sini, baru-baru ini.

Model Primavera pertama kali diperkenalkan pada 1968 dikuasakan dengan enjin silinder tunggal empat lejang 150cc yang kini dilengkapi dengan lampu hadapan dan belakang LED dan rim aloi 12 inci 5 jejari baharu untuk pengendalian lebih baik.

Untuk model Sprint dengan enjin 150cc menampilkan elemen sporty Vespa dengan ciri rekaan ’tali leher’ baru pada bahagian hadapan, lampu LED pada kedua bahagian serta didatangkan empat pilihan warna baru.

Vespa GTS Super Sport adalah yang paling berkuasa dengan enjin 300cc serta logo baru pada rim, pelekat grafik baru, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), kawalan cengkaman, tongkat sisi elektrik dengan pilihan warna baru Merah Matt dan Giorgio Titanio.

Untuk pasaran Malaysia Vespa Primavera dijual pada harga RM15,600, Vespa Sprint pada harga RM16,400 dan Vespa GTS 300 Super Sport pda harga RM28,000 (semua harga atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Berita Harian X