Isnin, 1 Oktober 2018 | 3:34pm
KETUA Pegawai Operasi Kumpulan Hap Seng Consolidated Berhad dan Ketua Eksekutif Hup Seng Star Sdn Bhd, Harald Behrend (tiga dari kiri) bersama Weidner (tiga dari kanan) bergambar bersama sempena majlis Pembukaan Rasmi Pusat Pra-Milik Mercedes-Benz oleh Hap Seng Star Kinrara di Bandar Kinrara Industrial Park, Puchong. - Foto Zulfadhli Zulkifli

MBM, HSS lancar Pusat Pra-Pemilikan Mercedes-Benz terbesar

PUCHONG: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mahu memberi lebih tumpuan terhadap perniagaan kereta terpakai pada masa akan datang berikutan peningkatan permintaan dalam segmen berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBM, Dr Claus Weidner, berkata terdapat permintaan tinggi terhadap pembelian kereta terpakai Mercedes-Benz pada tahun lalu yang mana hampir 5,000 unit dijual dengan 2,500 menepati standard MBM.

Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan pelancaran pusat Pra-Pemilikan Mercedes-Benz kedua oleh pengedarnya, Hap Seng Star (HSS) di Kinrara.

“MBM dan HSS Kinrara meneruskan kerjasama dengan memperkenalkan pusat Pra-Pemilikan Mercedes-Benz Certified terbesar di negara ini.

“Menerusi pelaburan berjumlah RM41.6 juta, Pusat Pra-Pemilikan Mercedes-Benz Certified yang dikendali oleh HSS Kinrara mencerminkan usaha menawarkan pilihan lebih banyak kepada pelanggan selain meningkatkan kebolehcapaian pelanggan terhadap jenama ini,” katanya pada majlis pelancaran Pusat Pra-Pemilikan Mercedes-Benz Certified, di Bandar Kinrara, di sini, hari ini..

Weidner berkata, Mercedes-Benz Certified adalah penjenamaan pra-pemilikan yang mewakili kualiti tertinggi untuk kereta terpakai Mercedes-Benz. Menerusi program ini, ia membolehkan pembeli memiliki kereta terpakai Mercedes-Benz berkualiti pada harga berpatutan.

Beliau berkata, kenderaan di bawah program itu adalah bersumber dari pengedar rasmi MBM yang mana ia tidak melebihi enam tahun dan jarak perbatuan 125,000 kilometer (km).

“Semua kenderaan yang ditawarkan menerusi program itu hanya diservis dan diselenggara oleh pusat servis sah Mercedes-Benz dengan hanya menggunakan alat ganti asal,” katanya.

Sementara itu CEO Kumpulan Hap Seng Consolidated Bhd, Harald Behrend, berkata bangunan berkeluasan 46,210 kaki persegi itu mampu mempamerkan lebih 100 kereta, sekali gus menjadikan ia pusat pra-pemilikan terbesar Mercedes-Benz di Malaysia.

“Ini adalah pusat Pra-Pemilikan Mercedes-Benz Certified kedua oleh HSS. Yang pertama dibina di HSS Balakong Autohaus pada 2016,” katanya.

Dalam pada itu, sempena pelancaran pusat Pra-Pemilikan berkenaan, MBM dan HSS turut turut melancarkan Young Star Agility Financing, iaitu program yang menawarkan penyelesaian inovatif kewangan dan insurans fleksibel untuk memiliki kereta terpakai Mercedes-Benz.

Di bawah program itu, pelanggan bakal menerima pilihan perjanjian yang lebih fleksibel, seperti penyelesaian kewangan, insurans, penyelenggaraan dan waranti terhad yang dilanjutkan mengikut kesesuaian pengguna.

Berita Harian X