Isnin, 3 September 2018 | 1:36pm

Proton catat rekod jualan tertinggi 2018

SUBANG JAYA: PROTON Holdings Bhd (PROTON) meneruskan momentum jualan bulanan tertinggi buat bulan ketiga berturut-turut pada Ogos apabila mencatatkan peningkatan 11.7 peratus berbanding Julai.

Ini menjadikan Ogos sebagai bulan jualan tertinggi Proton sejak 36 bulan lalu.

Secara keseluruhan, sebanyak 9,501 unit kereta dijual pada bulan lalu, yang menjadikannya bukan hanya pencapaian terbaharu bagi tahun ini, malah jumlah jualan terbanyak sejak Julai 2015.

Sejajar pertumbuhan jumlah jualan, PROTON menunjukkan peningkatan penguasaan pasaran selama tiga bulan berturut-turut, dengan jumlah jualan industri (TIV) dijangka mencecah 15.4 peratus bagi Ogos, walaupun peratusan sebenar akan diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Sama seperti tujuh bulan sebelum ini, Proton Saga dan Persona kekal menjadi model pilihan pembeli apabila kedua-dua model

ini kekal mendominasi jualan syarikat.

Saga menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dan memecah rekod jualan sebanyak 4,000 unit dengan 4,174 pendaftaran 4,174.

Manakala, Proton Persona hampir mencapai jualan 3,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 2,957 unit bagi Ogos.

Model-model yang lain turut menyumbang pada jualan, ditambah lagi dengan pembeli yang mencari kereta sebelum tamat hujung bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa, berkata Ogos memperlihatkan pertumbuhan jualan sebanyak tiga kali berturut-turut untuk PROTON di mana syarikat sekali lagi mencapai jumlah yang tinggi bagi tahun ini.

“Pertumbuhan ini sedikit sebanyak didorong oleh GST yang berkadar sifar sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta kempen pemasaran yang giat dijalankan bagi mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil kesempatan sempena dengan pembelian tanpa cukai ini.

“Jumlah jualan yang tinggi ini menunjukkan peningkatan keyakinan orang ramai terhadap jenama kami kerana ramai yang masih memilih

PROTON berdasarkan pakej menarik yang ditawarkan kepada mereka.

“Pelan pemulihan PROTON berjalan seperti yang dirancangkan, kini menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka kekal memilih jenama kami dengan memberikan servis pelanggan yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata PROTON akan menyerap kos Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk semua model keretanya pada bulan September bagi memastikan pembeli terus dapat menikmati harga tanpa cukai.

Beliau berkata sebelum ini PROTON menyatakan terdapat perubahan harga apabila SST dilaksanakan, namun buat masa ini perubahan berkenaan tidak akan memberi kesan terhadap pembeli.

“Sementara PROTON menunggu maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SST, syarikat akan menyerap kos SST berkenaan

untuk semua model bagi memberi peluang kepada pembeli mendapatkan kereta. Ini memberikan manfaat kepada mereka

semasa tempoh transaksi serta membantu PROTON mengekalkan momentum jualan,” katanya.

Berita Harian X