Khamis, 16 Ogos 2018 | 11:59am
MINI Countryman yang diperkenalkan baru-baru ini.
MINI Countryman yang diperkenalkan baru-baru ini.

BMW Group Malaysia eksport MINI ke Thailand

CYBERJAYA: BMW Group Malaysia (BMW Group) mula mengeksport dua varian kenderaan MINI Countryman yang diperkenalkan baru-baru ini iaitu MINI Cooper S Countryman dan MINI Cooper S Countryman Hightrim ke Thailand.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Eksekutif BMW Group, Harald Hoelzl berkata penghantaran itu dibuat dari kilang rakan kerjasama BMW Malaysia iaitu INOKOM Corporation yang terletak di Kulim, Kedah.

Katanya, kilang berkenaan yang menjadi perjanjian antara Sime Darby Bhd dan BMW Group adalah antara 30 tapak pengeluaran di 14 negara di seluruh dunia bagi BMW Group.

“Ia adalah titik sentuh yang penting bagi kami di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hoelzl berkata keupayaan untuk menawarkan sokongan dan khidmat bagi pasaran dalam rantau ini adalah sebuah pencapaian yang mustahak bukan sahaja untuk BMW Group tetapi juga untuk negara ini.

“Kami membangunkan kemudahan pemasangan domestik di sini bersama dengan rakan kerjasama kami di peringkat tempatan, iaitu Sime Darby Bhd serta dengan jaringan pembekal tempatan kami yang lain atas matlamat untuk memberi sokongan kepada rantau ini dan pada hari ini, kami telah mengorak satu langkah yang penting,” katanya.

Inisiatif eksport yang diperkenalkan oleh BMW Group di rantau Asia Tenggara mencontohi kejayaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).

ATIGA menggalakkan perdagangan intra-ASEAN dan memastikan aliran bebas bagi barangan di ASEAN direalisasikan.

Ia juga membantu BMW Group untuk memanfaatkan kilangnya di ASEAN dengan lebih efisien sekaligus memberikan fleksibiliti kepada syarikat pengeluar kenderaan premium itu untuk memenuhi permintaan pasaran di peringkat domestik dan bagi tujuan eksport dengan lebih berkesan.

Sementara itu, model MINI Cooper S Countryman dijual pada harga 2.299 juta baht (RM 259,557) termasuk cukai nilai tambah dengan Pakej Standard MSI.

Model itu didatangkan dengan keterampilan serba lasak serta siluetnya yang jelas dan ia melambangkan keharmonian antara karakter yang unik, tulen dan klasik.

Manakala bagi model MINI Cooper S Countryman Hightrim pula, ia dijual pada harga 2.499 juta baht (RM 282,137) termasuk cukai nilai tambah dengan Pakej Standard MSI.

MINI Cooper S Countryman Hightrim didatangkan dengan gaya sporty dan serba klasik dari jentera standard MINI Countryman melalui sorotan ‘Chrome Line’ sepanjang ruangan luaran dan dalaman kenderaan ini yang menambahkan lagi sentuhan kemewahan.

Berita Harian X