Rabu, 8 Ogos 2018 | 7:29pm
Dari kiri; Pengarah, Vantage Speed Sdn Bhd, Chua Soo Seong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, Pengarah, Vantage Speed Sdn Bhd, Dato 'Sri Tee Boon Kee dan Pengarah, Vantage Speed Sdn Bhd, Dato 'Leon Tee Wee Leng.

93 pengedar PROTON naik taraf 3S, 4S

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd sehingga kini sudah menaik taraf status 93 cawangan pengedarnya kepada 3S dan 4S.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd, Abdul Rashid Musa, berkata angka itu menunjukkan bahawa pengeluar kereta nasional itu sudah mencapai 85 peratus sasarannya untuk mewujudkan sebanyak 109 cawangan 3S dan 4S sebelum Oktober ini.

"Segala perancangan kini berjalan dengan lancar dengan lapan negeri kebanyakannya memenuhi kuota ditetapkan untuk menaik taraf cawangan kecuali lima negeri yang lain iaitu Melaka, Johor, Terengganu, Perak dan Sentral.

“Namun jumlahnya adalah kecil. Kami yakin, sebelum bulan Oktober lagi, kami akan dapat merealisasikan sejumlah 109 cawangan 3S dan 4S," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, beliau turut berpuas hati dengan perkembangan yang sedang berjalan di semua cawangan PROTON.

“Banyak lagi pengedar yang akan menaik taraf dan meningkatkan cawangan mereka untuk memberikan pengalaman jualan dan servis lebih baik.

“Saya percaya, pelaburan yang mereka buat hari ini akan mendapat pulangan dalam jangka masa panjang. Cawangan yang baharu dan telah dinaik taraf akan turut membuatkan mereka yang lain yang berminat untuk menjual model PROTON masa depan untuk turut menaik taraf, bermula dengan SUV yang bakal dilancarkan,” katanya.

Dalam pada itu Abdul Rashid berkata, PROTON mengalu-alukan sejumlah 12 pengedar yang lulus untuk dinaiktaraf kepada status 3S dan 4S dengan enam daripadanya adalah pengedar baharu.

Majlis menandatangani Penaiktarafan Rangkaian Pengedar dan Perjanjian Pengedar Baharu itu telah diadakan di Pusat Kecemerlangan PROTON.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Radzaif Mohamed.

Enam pengedar baharu itu ialah Victorange Sdn Bhd; Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd (Kota Kinabalu); Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd (Sandakan); Ming Heng Sdn Bhd; Grand Arena Automotive Sdn Bhd dan YS Autoworld Sdn Bhd.

Berita Harian X