Ahad, 5 Ogos 2018 | 5:11pm
Vantage Speed Sdn Bhd.

Cawangan 4S PROTON baharu dibuka di Klang

KUALA LUMPUR: Pengedar PROTON, Vantage Speed Sdn Bhd (Vantage Speed) secara rasminya membuka cawangan 4Snya di Jalan Kebun, Klang, hari ini.

Ia dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

Vantage Speed beroperasi sebagai pengedar PROTON sejak 2009 dan mengendalikan cawangan 1S dan 2S di lokasi berasingan.

Bagaimanapun, demi memenuhi keperluan dari PROTON yang bertujuan untuk memberikan kemudahan lebih baik kepada pelanggan sebagai pusat sehenti, pemegang saham Vantage Speed bersetuju untuk membuat pelaburan dalam perniagaannya itu sebagai pusat 4S.

Cawangan 2S yang pada asalnya milik Magnavision Sdn Bhd ditutup dan seluruh kawasan itu diubah suai menjadi pusat 4S yang baharu.

Bagi cawangan 1S miliknya di Setia Alam pula dikekalkan bertujuan untuk terus memberi kemudahan kepada pelanggan sedia ada di sana.

Pengarah Vantage Speed, Datuk Seri Tee Boon Kee, berkata dengan pembukaan cawangan 4S itu membolehkannya berurusan dengan pelanggan secara lebih baik, dan dapat memahami keperluan mereka.

Justeru, katanya, keputusan untuk beroperasi sebagai cawangan pengedar 4S sememangnya pilihan yang tepat.

"Apa yang paling penting adalah pelanggan suka berkunjung ke cawangan itu untuk membeli kereta. Sebaik saja mereka membeli kereta, mereka juga suka untuk kembali kepada kami bagi perkhidmatan servis kereta.

"Bagaimanapun, mungkin sukar untuk kami mencapai tahap kepuasan pelanggan itu sekiranya kami tidak beroperasi sebagai pusat sehenti," katanya dalam satu kenyataan.

Cawangan itu yang terletak di kawasan perindustrian, di sepanjang jalan utama kedua di bandar, turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelanggan.

Dengan kawasan seluas 2,418 meter persegi, cawangan ini dilengkapi dengan 14 petak servis, 10 ruangan ketuk dan cat serta ruangan yang memuatkan sehingga 10 kenderaan di ruang pameran.

Pelanggan turut selesa dengan ruangan tempat duduk yang luas, di mana boleh memuatkan 80 tempat duduk untuk mereka.

Selain itu, sama seperti cawangan PROTON yang lain, terdapat juga ruangan minuman, ruangan kanak-kanak, WIFI percuma dan kawasan istirahat pelanggan yang selesa untuk mereka berehat sambil menunggu kereta mereka diservis.

Sehingga 31 Julai 2018, PROTON telah meluluskan sebanyak 93 cawangan untuk menaik taraf kepada 3S dan 4S, yang mana ia adalah pencapaian 85 peratus berbanding sasaran untuk menaiktaraf sebanyak 109 cawangan pada Oktober tahun ini.

Chunrong sangat positif dengan perkembangan yang berlaku di dalam syarikatnya dan gembira penambahbaikan cawangan berjalan seperti yang dirancang.

Beliau berkata, PROTON berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk membuktikan semula kehadirannya di pasaran.

"Kami yakin kami dapat mencapai peningkatan kelulusan sebanyak 109 cawangan menjelang Oktober ini, atau mungkin lebih awal dari yang dijangkakan.

"Apabila memulakan langkah untuk menaik taraf cawangan, kami sentiasa memikirkan untuk memastikan pelanggan mendapatkan pengalaman terbaik apabila mereka melangkah masuk ke PROTON.

"Matlamat kami sangat jelas, dan sekarang apa yang dirancang hampir berjaya direalisasikan, kami percaya cawangan ini bersedia untuk menerima kedatangan SUV Proton pertama di pasaran, serta model yang lain pada masa akan datang," katanya.

Bagi minggu baharu berakhir, PROTON menyaksikan dua daripada cawangannya, Chan Sow Lin dan Puchong dinaik taraf dengan penampilan yang lebih segar selaras dengan pelan perniagaannya untuk mengubah semua rangkaian cawangannya bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

Chan Sow Lin adalah cawangan 4S PROTON, sementara Puchong adalah cawangan bertaraf 1S.

Berita Harian X