Khamis, 2 Ogos 2018 | 2:55pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Dr Claus Weidner dan Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpang MBM, Mark Raine (kiri) pada pelancaran barisan model S-Class baharu di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

Mercedes-Benz Malaysia perkenal model S-Class baharu

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) yakin mengukuhkan kedudukannya dalam segmen limosin premium mewah menerusi pengenalan kepada barisan model S-Class baharu, hari ini.

Model baharu membabitkan empat varian iaitu Mercedes-Benz S450L, S560 Cabriolet, Mercedes-AMG S63 Coupe dan Mercedes-Maybach S560.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Dr Claus Weidner, berkata varian standard (S450L) ditawarkan menerusi model pemasangan tempatan (CKD) manakala S560 Cabriolet, AMG S63 Coupe dan Maybach S560 adalah model import sepenuhnya (CBU)

"Sejak 2013, Mercedes-Benz berjaya menjual sebanyak 300,000 kereta saloon model S-Class dan sehingga kini terdapat enam varian berbeza untuk model paling premium itu.

"Kami yakin S-Class baharu ini akan terus menyumbang kepada pertumbuhan Mercedes-Benz pada masa akan datang, sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju segmen kereta premium," katanya kepada NSTP pada majlis pelancaran barisan model S-Class baharu di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpang MBM, Mark Raine, berkata S-Class baharu itu didatangkan 6,500 komponen baharu termasuk kelengkapan dan fungsi baharu seperti Bantuan Stereng Aktif, suspensi AIRMATIC serta lampu depan MULTIBEAM LED.

"Varian standard dikuasakan enjin petrol 3.0 liter enam silinder dipadankan dengan transimisi automatik 9G-Tronic, mampu menghasilkan 367 kuasa kuda (hp) dengan tork 500Nm.

"Setiap varian bagi model baharu ini menawarkan ciri uniknya tersendiri sekali gus meluaskan pilihan pelanggan.

"S-Class baharu ini dibina menerusi penerapan elemen serba mewah serta menjamin tahap keselesaan yang tiada tandingan, malah ia juga dilengkapi teknologi terkini," katanya.

Varian S450 L dijual pada harga RM699,888, S560 Cabriolet (RM1.3 juta), Maybach S560 (RM1.4 juta) manakala RM1.46 juta bagi varian AMG S63 Coupe.

Berita Harian X