Rabu, 11 Julai 2018 | 3:06pm
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa. - Foto Asyraf Hamzah

Jualan dan penguasaan pasaran kereta PROTON meningkat

KLANG: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) mencatatkan peningkatan 50 peratus jualan kenderaan dan 10 peratus penguasaan pasaran sejak pelaksanaan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa, berkata pembeli mengambil peluang mendapatkan model Proton pada harga jualan tanpa cukai dengan model paling laris ialah Saga dan Persona, yang masing-masing menyaksikan peningkatan 70 peratus dan 56 peratus berbanding bulan sebelumnya.

"Momentum jualan ini dijangka kekal sehingga Ogos dan PROTON perlu menetapkan semua sasaran jualan untuk tahun ini terutama selepas pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada September nanti," katanya pada majlis perasmian pusat 3S PROTON terbaharu di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Radzaif Mohamed; dan Presiden Pantai Bharu Group of Companies, Datuk Shamshudin Nor.

Menurutnya, PROTON kini sedang aktif menambahbaik pusat jualan dan servis yang akan memberi impak terhadap jualan, kualiti produk dan perkhidmatan selepas jualan dengan standard terkini daripada Zhejiang Geely.

Terkini, pihaknya membuka pusat 3S PROTON terbaharu yang dikendalikan oleh Pantai Bharu Corporation yang dibina di atas tanah berkeluasan 0.7 hektar dengan kos hampir RM7 juta di Jalan Kapar, Klang.

Ia dilengkapi 12 petak penyelenggaraan, lapan servis pengangkat, 35 tempat duduk pelanggan, tiga tempat penyerahan kereta baharu serta 70 ruang parkir pelanggan disediakan.

Sehingga Jun lalu, sebanyak 87 cawangan sudah bersedia untuk dinaiktaraf kepada 3S dan 4S dengan sasaran 109 bakal disempurnakan menjelang akhir tahun ini.

Berita Harian X