Jumaat, 6 Julai 2018 | 5:42pm

Jualan kereta PROTON melonjak pada Jun

KUALA LUMPUR: Jualan kereta PROTON meningkat 50 peratus pada Jun apabila sebanyak 6,173 unit dijual berbanding bulan sebelumnya.

Peningkatan memberangsangkan itu didorong oleh pembeli yang mengambil kesempatan berikutan tawaran sifar Cukai Barangan dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta promosi Duit Raya PROTON.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa, berkata Saga dan Persona terus mendahului jualan dengan hampir 3,000 unit terjual.

"Pembeli tertarik dengan kelebihan yang ada pada sedan kompak keluarga PROTON ini kerana ianya yang paling mampu milik, keluasan dan pengendaliannya serta promosi harga Saga Terbaik dalam jangka masa 10 tahun dengan tawaran harga di bawah RM30,000.

"Jun adalah bulan terbaik dalam 2018 bagi penjualan PROTON, yang mana membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih terus tertarik dengan kereta Proton dan ini adalah hasil daripada pelbagai ciri yang direka bentuk untuk setiap model.

"Pelbagai promosi menarik yang kami tawarkan, dengan GST yang berkadar sifar dan peningkatan keseluruhan kualiti kereta kami juga membantu meningkatkan jualan, di mana kami harap dapat dikekalkan sehingga ke akhir 2018," katanya dalam kenyataan hari ini.

PROTON juga mencatatkan hampir 10 peratus pegangan pasaran daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Jun berbanding 9.5 peratus sebelum ini.

Mengulas mengenai Tabung Harapan Malaysia, Rashid berkata, PROTON akan menyumbang sebanyak RM10 untuk setiap kereta yang dijual bermula 1 Jun sehingga 31 Disember 2018.

"Selepas sebulan program ini dilaksanakan, sejumlah RM61,730 berjaya diperoleh untuk Tabung Harapan Malaysia.

"Syarikat optimis untuk menjual lebih banyak kereta sepanjang tahun ini agar dapat memberi sumbangan sebanyak mungkin kepada dana ini yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Selain merancakkan aktiviti jualannya, PROTON terus optimis meningkatkan pengalaman pelanggannya dengan memperkenalkan model SUV pertamanya, yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini memandu uji unit prototaip produk pertama hasil kerjasama dengan Geely itu.

"Kami gembira bahawa Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengiktiraf usaha kami dengan Geely. Ini menunjukkan bahawa PROTON berada di landasan yang betul dan kini pra-pengeluaran SUV telah bermula, kami akan

memulakan pratonton kepada media dan pelanggan untuk membina momentum menjelang pelancaran yang sebenar," katanya.

Berita Harian X