Rabu, 4 Julai 2018 | 7:00am
Alphard.
Alphard.
Vellfire.
Vellfire.

UMWT lancar kempen servis khas

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), pengedar rasmi kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia, baru-baru ini melaksanakan kempen servis khas untuk model Toyota Alphard dan Vellfire.

Kempen itu bagi mengemaskini unit kawalan elektronik (ECU) untuk sistem brek parkir elektrik (EPB) kedua-dua model berkenaan yang dikeluarkan antara April 2016 hingga Februari 2018 oleh UMWT.

Dalam satu kenyataan, UMWT berkata, sebanyak 1,900 unit kenderaan terbabit dalam kempen berkenaan.

"Kemaskini itu perlu dilakukan kerana ada kemungkinan berlakunya kekurangan voltan semasa enjin dihidupkan semula selepas 'idling stop'.

"Tetapi ECU akan mengesannya sebagai kelainan (abnormality) sekiranya bateri kenderaan terbabit mengalami pengurangan tenaga. Hal ini akan menyebabkan sistem EPB tidak berfungsi dan lampu amaran akan menyala," katanya.

Hubungi UMWT

Mengulas lanjut, UMWT berkata, syarikat itu akan menghubungi semua pelanggannya yang terjejas.

"Pelanggan juga boleh menghubungi talian bebas tol Toyota 1800-886-9682 untuk maklumat lanjut," katanya.

Orang ramai juga boleh melayari laman web rasmi toyota.com.my untuk mendapatkan maklumat mengenai Kempen Servis Khas Toyota dan mengesahkan sekiranya kenderaan dimiliki turut terjejas atau muat turun aplikasi Toyota Drive Apps.

Berita Harian X