Ahad, 10 Jun 2018 | 9:00am
LETUSAN gaya ranggi baharu Innova 2.0X.
LETUSAN gaya ranggi baharu Innova 2.0X.

Transformasi kereta keluarga

TOYOTA Innova, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sering dikaitkan dengan gaya dan reka bentuk untuk mereka yang berkeluarga.

Apa tidaknya, sebelum ini, sebut saja mengenai Innova, mereka yang tergolong dalam usia muda-mudi membayangkan ia adalah untuk mereka yang berumur dan mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan reka bentuknya 'agak membosankan'.

Nampak gayanya, semua anggapan negatif itu sudah berakhir kerana UMW Toyota Motor Sdn Bhd kini membawakan Innova varian baharu 2.0X yang hadir dengan rekaan lebih ranggi dan boleh dikatakan menarik.

Faktor gaya dan reka bentuk baharu ini, membolehkan model MPV daripada Toyota ini sudah boleh dikeluarkan daripada kepompong kereta untuk orang berusia.

Diperkenalkan pada Oktober tahun lalu, Innova 2.0X ini, hadir dengan gaya luaran lebih 'muda' dan 'terkini'.

Model generasi kedua yang diterapkan dengan spesifikasi tertinggi ini ditawarkan pada harga dari RM125,324.28.

Konsep crossover

Innova 2.0X ini menerapkan rekaan yang diasaskan dari konsep crossover, lain dari rupa MPV tradisional.

Ia menampilkan kit badan baharu yang terdiri dari spoiler hadapan dan belakang, kemasan overfender pada kesemua ruang roda, kemasan berwarna hitam pada bahagian bawah, serta gril yang lebih gelap.

Untuk rekod, semua varian Innova didatangkan standard dengan lampu dan pengelap cermin automatik, serta lampu follow-me-home.

Semua ciri ini juga menjadi kelengkapan kepada model 2.0X termasuk juga seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta sistem pendingin hawa automatik.

Sebagai varian tertinggi, Innova 2.0X juga hadir dengan beberapa lagi kelengkapan lebih premium antaranya lampu utama LED dengan fungsi larasan automatik yang menggantikan unit reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, serta rim aloi 17-inci kemasan hitam dengan tayar 215/55R17.

Perubahan terbesar yang diterapkan adalah dua tempat duduk kapten pada barisan kedua, menjadikan Innova 2.0X ini hanya boleh memuatkan tujuh penumpang berbanding lapan pada model lain yang lebih rendah.

Model Innova 2.0X turut menampilkan upholsteri balutan kulit berwarna hitam pada kesemua tempat duduk, bersama tempat duduk pemandu larasan berkuasa enam-hala.

Rekaan ranggi, sporty

Kelengkapan lain Innova 2.0X ini turut berkongsi bersama model 2.0G termasuk kemasan kayu berkilat, sistem pendingin hawa automatik hadapan dan belakang, lampu suasana LED berwarna biru dwi-zon, panel instrumen Optitron dengan paparan pelbagai info TFT-LCD berwarna 4.2 inci, meja boleh lipat pada belakang tempat duduk, kamera undur dan sistem infotainmen DVD-AVX lapan-inci.

Bagi keselamatan pula, Innova dibekalkan dengan tujuh beg udara, ABS, EBD, BA, VSC dan bantuan mula mendaki.

Bagaimanapun, tiada perubahan dari segi enjin untuk Innova 2.0X.

Ia dijana enjin petrol 2.0 liter NA Dual VVT-i berkuasa 139 PS dan tork 183 Nm yang hadir bersama transmisi automatik enam kelajuan.

Ia turut dilengkapi dengan dua pilihan mod pemanduan iaitu Eco dan Power.

Menambahkan lagi gaya, UMW Toyota juga menawarkan aksesori tambahan untuk Innova iaitu "Monitor Pandangan Panaromik" yang memberikan imej 360 darjah pada sekeliling kenderaan dan sudut atas.

Menerusi sistem ini, empat kamera dipasang pada Innova, manakala imejnya pula dipaparkan pada skrin DVD-AVX bagi membantu pemandu ketika memarkir.

Kamera DVR atau dashcam (untuk merakam pemanduan) dan juga filem penapis haba keselamatan turut ditawarkan sebagai opsyen.

Apa yang ditawarkan menerusi Innova 2.0X ini jelas sekali menjadi satu transformasi bagi sebuah MPV keluarga yang dulunya amat bersifat tradisional atau konvensional.

Pemanduan unik

Dari segi pemanduan, Innova 2.0X memberikan satu kepuasan kerana ia mengubah paradigma penulis dek kerana gayanya yang lebih sporty.

Meskipun menggunakan enjin 2.0 liter, berat kering 2,320 kilogram dan kapasiti tangki minyak 55 liter, Innova 2.0X tidaklah berat dan mengaum setiap kali pedal minyak ditekan dengan drastik.

Dari segi daya tujahan, ia tidaklah terlalu mengecewakan. Ia sesuai sebagai sebuah MPV di mana pemandunya bukannya untuk prestasi semata-mata tetapi keselesaan ketika pemanduan.

Ia sudah memadai untuk sebuah MPV keluarga. Cuma apa yang ditawarkan menerusi Innova 2.0X ini adalah kelainan yang dicetuskan bagi memenuhi keperluan sebuah keluarga moden.

Bagi mereka yang memikirkan model sesuai untuk sebuah kereta keluarga tetapi 'ranggi' dan sporty, anda mungkin boleh melihat Innova 2.0X untuk memenuhi keperluan sebuah keluarga bukan individu semata-mata.

Info:
Innova 2.0X

  • Harga bermula RM125,324.28
  • Enjin petrol 2.0 liter NA Dual VVT-i
  • 139 PS dan tork 183 Nm
  • Transmisi automatik enam kelajuan
  • Tujuh beg udara, ABS,EBD,BA, VSC dan bantuan mula mendaki
Berita Harian X