Jumaat, 8 Jun 2018 | 4:58pm
CHUNRONG (kiri) diiringi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Radzaif Mohamed (kanan) menandatangani plak sebagai simbolik Pembukaan Rasmi Cawangan Pengedar 4S Pertama di Setia Gemilang Auto Sdn Bhd, di Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

SUV pertama PROTON dilancar suku keempat 2018

SHAH ALAM: Kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton Holdings Bhd (PROTON) yang amat ditunggu-tunggu kini di landasan tepat untuk dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata SUV yang diasaskan daripada model Boyue hasil pemilikan bersama Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd dari China itu adalah model sulung kerjasama kedua-dua syarikat.

Beliau berkata, proses membawa masuk model itu kini berjalan lancar selepas lebih 18 bulan membangunkan produk, khususnya dalam penukaran sistem pemanduan dari kiri ke kanan.

"Kami menjangkakan sama ada September atau Oktober tahun ini fasa pertama SUV PROTON yang diimport sepenuhnya dari China itu akan dilancarkan pada harga yang sangat kompetetif," katanya ketika ditemui NSTP pada perasmian pusat 4S (jualan, servis, alat ganti, ketuk dan mengecat) baharu di sini, hari ini.

Cawangan pengedar pertama yang dinaik taraf sebagai pusat 4S itu adalah milik Setia Gemilang Auto Sdn Bhd.

Chunrong berkata, mengikut perancangan PROTON, fasa kedua SUV berkenaan akan diperkenalkan melalui pemasangan tempatan (CKD) dan semua pengeluaran model baharu yang dihasilkan nanti akan dilakukan di kilang di Tanjung Malim, Perak.

Katanya, setiap tahun PROTON akan memperkenalkan satu model baharu ke dalam pasaran tempatan dalam meluaskan lagi perkembangan jenama dan penawaran serta meningkatkan jualan kenderaan itu di negara ini.

Beliau berkata, sebagai persediaan awal, aktiviti menaik taraf pusat jualan PROTON kini juga aktif dilakukan dan sudah mencapai sasaran 75 peratus dalam masa lima bulan dengan 82 pengedar sudah diluluskan untuk bertukar kepada 3S dan 4S, dua bulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

"Penambahbaikan pusat jualan penting dalam memastikan ia selari dengan objektif perniagaan syarikat untuk memberi pengalaman baharu kepada pelanggan," katanya.

Sementara itu, Pusat 4S Setia Gemilang Auto yang dinaiktaraf itu berkeluasan 0.8 hektar serta dilengkapi ruang yang boleh memuatkan 11 kereta pameran, 50 parkir pelanggan, 14 servis pengangkat, 12 ruangan ketuk dan mengecat.

Selain itu, ia juga menyediakan kawasan menunggu selesa, yang boleh memuatkan 30 orang dalam satu masa.

Berita Harian X