Selasa, 22 Mei 2018 | 7:11pm
- Gambar hiasan

Jualan sektor automotif berpotensi kembali meningkat

KUALA LUMPUR: Sektor automotif tempatan berada pada potensi pemulihan meluas dalam separuh kedua berikutan pelaksanaan kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), peningkatan perbelanjaan pengguna dan ringgit yang mengukuh, kata beberapa penganalisis.

Pengguna berkemungkinan mengambil kesempatan terhadap 'ruang kosong' GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan meningkatkan jualan kenderaan baharu, tambah mereka lagi.

Jualan kenderaan baharu berkurangan 0.7 peratus kepada 182,229 unit bagi empat bulan pertama tahun ini, menurut data terbaharu Persekutuan Automotif Malaysia (MAA).

Affin Hwang Capital berkata sektor berkenan boleh mendapat lonjakan berikutan pengguna mengambil kesempatan untuk membeli kenderaan pada harga yang lebih murah semasa ketiadaan GST dan SST di samping promosi Hari Raya.

"Selain daripada pemansuhan GST, kami percaya dengan keyakinan yang bertambah baik, segmen pendapatan pertengahan yang lebih kukuh, duti eksais yang lebih rendah terhadap kereta import lebih daripada 1,600 cc, ringgit yang kukuh dan pelancaran model baharu yang menarik bakal menyumbang kepada pemulihan meluas Jumlah Industri Keseluruhan (TIV) pada separuh kedua.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengurangkan kadar GST kepada sifar daripada enam peratus bermula 1 Jun depan manakala SST dijangka diperkenalkan semula antara dua hingga tiga bulan lagi.

MIDF Research berkata selepas waktu berkenaan, beberapa kelemahan boleh dijangka sebelum permintaan kembali normal.

Ia berikutan pembelian mungkin perlu dibawa ke hadapan, ditambah pula dengan pengenalan semula SST. Firma berkenaan berkata secara umumnya, penurunan GST dijangka membolehkan pengguna mendapat lebih banyak wang dan secara strukturnya meningkatkan sentimen dan kuasa pembelian.

"Bagi mengelakkan jurang dalam permintaan antara pada masa ini sehingga pelaksanaan kadar sifar GST, peserta utama dalam sektor berkenaan membuat keputusan untuk menyediakan rebat GST bagi tempoh sekarang sehingga 1 Jun.

"Dalam masa yang sama, peserta lain telah mengumumkan pengurangan harga antara lima hingga enam peratus sebagai hasil keputusan GST pada kadar sifar," katanya.

Tambahnya, keputusan untuk menyerap GST bagi tempoh 13 hari sehingga 1 Jun mungkin meninggalkan sedikit impak ke atas pendapatan suku kedua sektor berkenaan walaupun untuk tempoh sementara.

MIDF Research berkata ringgit yang mengukuh adalah positif bagi peserta industri terutamanya UMW Holdings Bhd dan Tan Chong Motor Holdings Bhd yang mempunyai pendedahan import yang besar kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

Affin Hwang said peserta automotif sedang melaksanakan pelbagai strategi harga walaupun ia cenderung ke arah harga yang lebih rendah.

Sehingga kini, pengedar Nissan, Subaru dan Proton telah memberi maklum balas dengan menawarkan 'Skim Perlindungan Harga' yang memberi baucar pulangan semula dan perkhidmatan bagi mengimbangi turun naik harga kereta sebelum pelaksanaan SST.

"Jenama lain seperti MINI, Honda, Toyota dan Volvo mengurangkan harga termasuklah tambahan caj enam peratus GST.

Perkembangan baharu itu ditambah dengan promosi Hari Raya daripada pembuat auto berkemungkinan menggembirakan pembeli untuk mengunjungi ruang pameran lagi dan menyumbang kepada lonjakan TIV untuk sementara waktu, tambahnya.

Pada masa ini, Affin Hwang mengekalkan unjuran pertumbuhan TIV sebanyak satu peratus kepada 582,400 unit tahun ini.

Ia juga mengulangi saranan "overweight' ke atas sektor berkenaan, dengan pilihan utamanya Sime Darby bagi pendedahan bermodal besar dan Bermaz Auto Bhd serta MBM Resources Bhd bagi pilihan modal kecil dan sederhana.

MIDF Research pula memilih Bermaz Auto sebagai pilihan utamanya, diikuti oleh Tan Chong Motors Holdings Bhd dan MBM Resources.

Berita Harian X