Isnin, 30 April 2018 | 2:15pm
AUTOHAUS Puchong South.

MBM, HSS lancar Autohaus Puchong South

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM) dan Hap Seng Star Sdn Bhd (HSS) meneruskan komitmen kerjasamanya dengan memperkenalkan Autohaus baharu di Puchong, Selangor.

Sehingga kini, HSS sudah membuat pelaburan berjumlah RM250 juta dalam usaha untuk mengembangkan pusat pelanggan di seluruh negara, dengan RM6 juta pembangunan Mercedes-Benz Hap Seng Star Puchong South Autohaus (HSS Puchong South).

Presiden dan Ketua Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner, berkata HSS Puchong South Autohaus adalah bukti kepada kerjasama berterusan MBM dan HSS bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan di seluruh negara.

"MBM sentiasa menggiatkan usaha mengembangkan rangkaian pengedar kami, terutama dari segi liputan dan untuk memastikan lokasi yang dipilih akan memudahkan pelanggan.

"Kami akan terus meningkatkan perkhidmatan pelanggan kami di seluruh negara di samping melakukan pelaburan dalam membangunkan bidang penting seperti bakat perhubungan korporat MBM, teknologi, penghasilkan dan perkhidmatan bagi menawarkan pengalaman terbaik untuk pelanggan," katanya dalam satu kenyataam, hari ini.

HSS Puchong South itu menandakan Autohaus ke-10 kerjasama antara MBM dan HSS, dan Autohaus ke-34 MBM di seluruh negara.

Ruang pameran berkenaan memenuhi piawaian Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II) global Autohaus dengan Identiti Korporat (CI) yang standard dalam meningkatkan keselesaan dan pengalaman kepada pengguna.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Hap Seng Consolidated Bhd yang juga Ketua Eksekutif HSS, Harald Behrend, berkata HSS Puchong South Autohaus yang berkeluasan 21,577 kaki persegi itu boleh memuatkan lapan kenderaan di ruang pameran dengan 12 tapak penyelenggaraan yang boleh menampung sebanyak 500 kenderaan untuk diservis dalam sebulan.

"Ia terletak di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Plaza Tol Puchong Barat, sekali gus mudah untuk dikunjungi pelanggan yang menetap di kawasan Puchong, USJ, dan Putrajaya.

"Selain 3S, Autohaus ini juga menawarkan penyelenggaraan khas untuk pelanggan serta bantuan tepi jalan 24 jam," katanya.

Selain Puchong South, HSS beroperasi di Jalan Sultan Ismail, Kinrara, Jalan Ipoh, Balakong, Bukit Tinggi, Iskandar Johor, Kuching, Miri dan Kota Kinabalu.

INFO

- HSS Puchong South Autohaus terletak di Lot 14225, KM3.8, Lebuhraya Damansara-Puchong, 47100, Puchong.

Berita Harian X